KOTA KINABALU: Orang ramai terutama di pantai timur dan utara Sabah dinasihatkan supaya menangguhkan aktiviti riadah luar seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti pendakian, berikutan luruan monsun diramal berlaku bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah Md Ali Ismail berkata ini kerana luruan monsun yang membawa angin sejuk dari Siberia, dijangkakan mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

Beliau berkata keadaan ini berpotensi mengakibatkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan lain-lain kejadian yang tidak diingini.

"Orang ramai yang tinggal di kawasan tersebut dinasihatkan untuk lebih peka dan sentiasa berwaspada. JBPM Sabah telah diletakkan dalam keadaan lebih bersiap siaga, dengan meletakkan aset-aset berkaitan di lokasi strategik dengan lebih awal," katanya menerusi kenyataan semalam.

BACA: Luruan monsun, cuaca tekanan rendah dijangka sebabkan hujan berterusan - MetMalaysia

BACA: JBPM Sabah persiap aset dan anggota hadapi impak luruan Monsun Timur Laut

Md Ali berkata JBPM Sabah juga membuat pemantauan dari semasa ke semasa, selain berkoordinasi dengan agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri, untuk bertindak balas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Pada Khamis lepas (23 Dis) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun pada 27 hingga 30 Dis, antara lain menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Menurut MetMalaysia keadaan itu juga boleh menyebabkan hujan berterusan di Johor, Sabah dan Sarawak dalam tempoh 28 hingga 30 Dis ini.

-- BERNAMA

AWANI Ringkas: Luruan Monsun dijangka melanda mulai hari ini

 
Luruan Monsun | Bomba Sabah tempatkan aset di lokasi berisiko