SOOK: Seorang bayi berusia dua bulan bersama seorang kanak-kanak berusia dua tahun dikhuatiri hanyut dibawa arus deras dalam kejadian banjir di Kampung Dalit, Sook di Keningau pada Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.06 malam tadi.

Katanya, seramai lima anggota bomba dari BBP Sook dan empat anggota dari BBP Keningau telah dikejarkan ke lokasi dengan jarak sejauh 110 kilometer.

"Menurut pengadu, terdapat tujuh orang mangsa hanyut dibawa arus ketika banjir di tempat kediaman rumah mangsa pada jam 5 petang, kelmarin.

"Lima mangsa selamat, manakala dua lagi masih hilang yang merupakan bayi dua bulan dan kanak-kanak dua tahun.

"Pasukan Bomba dari BBP Keningau yang berada di lokasi sedang mendapatkan maklumat kesemua mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dilakukan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.