LUBNAN kini sering mendapat liputan berita. Malangnya liputan yang diterima seringkali merupakan berita bencana mengenai negara tersebut.

Selain daripada tragedi letupan di Beirut yang berlaku pada tahun 2020, kini pergolakan akibat masalah ekonomi pula menjadi berita penting semasa.

Walaupun tragedi letupan yang berlaku pada tahun lepas telah mengorbankan lebih 200 nyawa, mencederakan ribuan yang lain dan telah mengakibatkan banyak kerosakan harta benda adalah sesuatu menyedihkan, namun rakyat Lubnan lebih terkesan dengan krisis ekonomi teruk yang sedang dihadapi oleh mereka kini.

Rakyat Lubnan dilaporkan amat marah kepada pemimpin mereka yang dilihat gagal untuk menyelesaikan masalah ekonomi mereka sehingga ke hari ini.

Menurut laporan terkini oleh Bank Dunia, pada tahun 2020 ekonomi negara berkenaan telah merosot sebanyak 20.3 peratus.

Pada tahun 2018, KDNK Lubnan adalah sekitar AS $ 55 bilion, namun menyusut menjadi hanya AS $ 33 bilion pada tahun 2020.

Dari segi KDNK per kapita, ia telah menurun sekitar 40 peratus. Mata wangnya turut menyusut sebanyak 129 peratus pada tahun 2020 berbanding mata wang-mata wang lain.

Oleh kerana Lubnan mengimport hampir kesemua barangan termasuk makanan, maka akibatnya inflasi telah meningkat sebanyak 84.3 peratus pada tahun 2020.

Sepatutnya masalah-masalah tersebut mendorong pemimpin-pemimpin Lubnan untuk bekerjasama bagi menyelesaikan masalah ekonomi negara mereka.

Malangnya ia tidak berlaku kerana tahap kebencian sesama mereka mengatasi rasa tanggungjawab mereka terhadap masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara berkenaan.

Masyarakat di Lubnan sendiri sebenarnya juga tidak pernah bersatu. Sepanjang sejarahnya telah berlaku konflik di antara kumpulan sektarian yang tidak ragu-ragu untuk saling berbunuhan untuk menyelesaikan perbezaan.

Kumpulan utama adalah Kristian, Muslim Sunni dan Muslim Syiah. Namun, situasi adalah lebih kompleks kerana di dalam kumpulan terdapat sub-kumpulan juga.

Contohnya dalam kalangan penganut agama Kristian terdapat golongan Maronite, Katolik Yunani, Ortodoks Yunani, Ortodoks Oriental, Gereja Timur (Asyur) dan Protestan yang juga saling berperang.

Konflik paling lama yang berlaku dan menyebabkan ratusan ribu orang terkorban adalah Perang Saudara Lubnan yang berlaku selama 15 tahun iaitu di antara tahun 1975 sehingga 1990.

Peperangan yang berlaku itu adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran Lubnan itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai etnik dan aliran agama.

Mujur bagi rakyat Lubnan, kumpulan-kumpulan tersebut memutuskan untuk mengakhiri perang pada tahun 1990.

Keadaan agak damai sehingga sekarang, kerana pihak-pihak yang berseteru telah bersetuju untuk berkongsi kuasa politik di mana presiden dipilih daripada kumpulan Maronite Kristian, Perdana Menteri daripada kalangan orang Islam Sunni manakala ketua Parlimen adalah daripada kumpulan Islam Syiah.

Walau bagaimanapun, sifat sektarian masyarakat Lubnan tetap seperti sebelumnya di mana semua parti politik dikaitkan dengan pelbagai mazhab agama di dalam masyarakat.

Secara umumnya, golongan Syiah yang diwakili oleh parti Amal dan Hezbollah sekarang bersekutu dengan golongan Kristian At-Tayyar al-Watani al-Horr dalam kumpulan yang diberi nama `Barisan Mac 8’ dalam usaha menyekat pengaruh dan kuasa `Kumpulan Mac 14’ yang terdiri dari golongan Sunni Tayar Mustaqbal yang dipimpin oleh Saad Hariri, yang disokong oleh parti krisitian bergelar al-Quwat al-Lubnaniyya (Lebanese Forces).

Untuk mengekalkan sokongan politik daripada kumpulan mereka, semua golongan elit politik telah menggunakan dana daripada tabung kerajaan. Kesan daripada tindakan tersebut berlaku situasi korupsi dan kronisme yang berleluasa yang mengakibatkan kerajaan Lubnan menjadi negara ketiga di dunia dari aspek tahap keberhutangan yang tinggi, di belakang Jepun dan Greece.

Keadaan keberhutangan kerajaan Lubnan yang tinggi ini dapat berlaku kerana kerakusan satu lagi golongan berpengaruh iaitu pemain-pemain dalam industri hutang atau perbankan, yang telah memberi hutang yang banyak kepada kerajaan Lubnan demi meraih keuntungan maksima untuk diri mereka tanpa menghiraukan nasib ekonomi negara dalam jangka panjang.

Secara teorinya, bank di negara lain juga dapat melakukan perkara yang sama kerana bank sebenarnya tidak meminjamkan wang daripada simpanan orang ramai.

Bertentangan dengan kepercayaan popular, sebahagian besar jumlah deposit di akaun bank sebenarnya wujud setelah pinjaman diberikan.

Ini kerana setiap pinjaman yang diberikan oleh bank akan menghasilkan mata wang tempatan yang baru, yang kemudian dicatat sebagai deposit dalam akaun peminjam.

Hakikat inilah yang membolehkan bank di mana-mana negara untuk memberikan pinjaman yang begitu banyak kepada kerajaan, badan korporat dan juga individu.

Namun di kebanyakan negara lain, terdapat kawalan untuk membatasi jumlah hutang dalam mata wang tempatan yang dapat diambil oleh kerajaan. Malangnya, di dalam kes Lubnan, kawalan seperti itu sangat lemah kerana pihak pemilik industri perbankan bersekongkol dengan elit politik untuk memperkayakan diri mereka tanpa mengira nasib rakyat biasa di Lubnan. Akibatnya, hutang kerajaan Lubnan naik kepada sekitar 170 peratus berbanding KDNKnya.

Kerajaan Lubnan turut meminjam dolar AS dari bank-bank Lubnan. Pada tahun-tahun sebelum ini, bank-bank Lubnan menerima banyak deposit dolar daripada ekspatriat Lubnan.

Mereka gemar berbuat demikian kerana tiga faktor berikut; pertama adalah kerana wujudnya ikatan pound Lubnan kepada dolar AS, kedua kerana kadar bunga yang tinggi bagi deposit dolar dan ketiga kerana terdapat undang-undang kerahsiaan perbankan Lubnan yang menyebabkan Lubnan menerima jolokan sebagai ‘Switzerland di dunia Arab’ di mana orang kaya dan berkuasa dapat menyimpan wang mereka dengan selamat dan jauh daripada mata yang memandang.

Keadaan tersebut mengakibatkan ekonomi Lubnan menjadi sangat bergantung kepada aliran masuk dolar ini.

Bank-bank komersial Lubnan kemudiannya mendepositkan dolar tersebut di bank pusat Lubnan yang membayar faedah yang lumayan.

Bank pusat kemudian meminjamkan dolar ini kepada kerajaan Lubnan yang kemudian membelanjakannya secara sembrono untuk tujuan politik tanpa rancangan yang jelas untuk membayar balik pinjaman dalam dolar tersebut.

Faktor-faktor di atas adalah punca mengapa keadaan keberhutangan kerajaan Lubnan semakin parah, terutamanya selepas pilihan raya 2018 ketika kerajaan menaikkan gaji kakitangan kerajaan bagi mendapatkan sokongan undi daripada mereka.

Pada penghujung tahun 2019, kerajaan Lubnan akhirnya memutuskan untuk meningkatkan pendapatannya bagi memperbaiki keadaan kewangan negara yang semakin parah.

Namun elit politik yang menjadi pentadbir di dalam kerajaan Lubnan enggan mengutip cukai tambahan daripada golongan kaya.

Sebaliknya mereka memutuskan untuk mengenakan cukai ke atas setiap panggilan yang menggunakan aplikasi WhatsApp kerana rakyat Lubnan termasuk yang miskin, sangat gemar menggunakan kaedah tersebut untuk berhubung dengan saudara mara dan rakan mereka di luar negara kerana kos panggilan adalah sangat rendah.

Langkah tersebut terbukti merupakan keputusan yang sangat tidak popular, terutamanya di kalangan rakyat biasa di Lubnan.

Mereka menjadi sangat berang dengan kerajaan yang dilihat sangat gemar melindungi kepentingan golongan kaya dan sebaliknya sangat zalim terhadap rakyat biasa.

Akhirnya, mereka telah mengadakan protes besar-besaran di jalanraya yang disertai oleh ribuan orang terutamanya daripada kalangan anak muda Lubnan yang merasakan situasi sukar yang dihadapi oleh mereka dari segi pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi adalah semata-mata akibat penyalahgunaan kuasa oleh elit politik yang korup daripada generasi terdahulu.

Keadaan yang huru-hara itu mencetuskan pengeluaran dolar secara besar-besaran dari Lubnan, selain tidak menggalakkan aliran masuk pertukaran asing sehingga menyumbang kepada kejatuhan mata wang Lubnan, yang merosot dari nilai rasmi 1,500 pound berbanding 1 dolar kepada kadar pasaran gelap sebanyak 21,875 pound pada pertengahan Julai 2021.

Sudah tentu keadaan ini mengakibatan keadaan ekonomi Lubnan menjadi semakin tenat.

Setakat ini tidak ada jalan atau cara yang jelas untuk menyelesaikan masalah ekonomi Lubnan tersebut.

Golongan elit yang kaya dan berkuasa di Lubnan, terutamanya dari sektor perbankan nampaknya masih mahu mengekalkan keadaan sedia ada.

Lagi pun mereka mempunyai simpanan dana yang banyak yang akan membolehkan mereka bertahan untuk tempoh yang agak lama.

Seperti yang biasa terjadi di negara-negara yang ekonominya bergantung pada sektor perbankan, yang benar-benar akan menderita apabila krisis ekonomi berlaku adalah golongan yang berpendapatan rendah. Menurut Bank Dunia, lebih daripada separuh penduduk Lubnan kini layak diklasifikasikan sebagai miskin.

Sementara itu, para pemimpin politik serta golongan elit kewangan yang kaya raya nampaknya lebih cenderung untuk memastikan mereka kekal berpengaruh dan berkuasa dalam masayarakat berbanding dengan usaha menyelesaikan masalah ekonomi negara dan meringankan kesengsaraan golongan yang berpendapatan rendah.


* Penulis adalah Pengerusi BDS Malaysia

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.