Datuk Lokman Noor Adam dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 8 Disember 2016.

Lokman dilantik sebagai Pengarah setelah melepaskan jawatannya sebagai Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijawatnya selama enam tahun enam bulan.

Beliau merupakan bekas penuntut UITM Perak dalam jurusan Sains Kesetiausahaan sebelum melanjutkan pelajarannya dalam bidang Siyassah Syarriah dan Kepimpinan Islam di Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam serta merupakan pemegang Sarjana Pengurusan dari Universiti Tun Abdul Razak.

Beliau mula melibatkan diri dalam arena politik seawal usia lima belas tahun dan pernah menjadi Exco Pemuda UMNO Malaysia, Pengerusi Unit Pidato Pemuda BN dan UMNO, Panel Pemikir Penjenamaan Semula BTN dan Ahli Badan Pemikir Penerangan UMNO.

Semasa menjadi Panel Pemikir JASA, beliau melakukan tugas menjawab isu-isu semasa bagi pihak kerajaan melalui penulisan, penghasilan infografik, video, penerbitan bahan-bahan gerak saraf selain menyampaikan ceramah isu semasa, membentang kertas kerja, menjadi panel forum dan debat mewakili kerajaan kepada kakitangan awam, jentera parti politik, NGO, pelajar dalam dan luar negara.




Lokman turut memuat naik berita pelantikannya di laman Facebook miliknya - Sumber gambar Facebook Lokman Adam

Selain itu Lokman turut terlibat dalam melatih jentera parti serta jentera kerajaan melalui kursus pengucapan awam, gerak saraf, isu semasa dan termasuk melahirkan pemidato muda.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Pengarah Viral Command Center JASA dan KKMM. Semasa memegang jawatan tersebut, beliau diamanahkan untuk menapis isu-isu semasa setiap hari untuk diviralkan oleh jentera kerajaan serta media sosial selain memberi khidmat nasihat kepada kerajaan berhubung implikasi politik akibat daripada sesuatu keputusan, tindakan atau berita yang disiarkan oleh media kerajaan.

Watak Lokman juga turut dikenali kerana pidatonya yang berapi-api dan kerap tampil menyampaikan ceramah berhubung isu semasa, GST dan Ekonomi.

Beliau merupakan tokoh yang turut dikenali kerana kerap memimpin perhimpunan anjuran Pemuda UMNO Malaysia dahulu.

Baru-baru ini beliau turut mengemudi Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya anjuran NGO-NGO Islam.