Lima unit rumah satu tingkat di Jalan Kampung Sungai Pusu, Batu 8, Gombak dekat sini rosak teruk selepas dipukul ribut, Sabtu petang.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata kejadian pada 5.50 petang itu turut menyebabkan lima buah lagi rumah serta sebuah gerai mengalami kerosakan bumbung.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan jumlah kerugian belum diketahui," katanya ketika dihubungi.

Katanya seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.52 petang.