KUALA LUMPUR: Lima rakan sekerja sebuah syarikat perkhidmatan teknologi maklumat (IT), mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pengubahsuaian kandungan sebuah aplikasi tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM), enam bulan lepas.

Mereka ialah Muhammad Farid Zanuri, 28, Muhammad Ikhwan Hakim Mohd Tahir, 26, Muhammad Ameer Idham Norasbi, 26, Mohamad Naqiuddin Mohd Najmi, 34, dan Mohd Zul Fahmi Mokhtar, 36.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan pengubahsuaian kandungan Source Code bagi aplikasi Blood Bank Information System (BBISV2) yang merupakan hak cipta terpelihara milik KKM, dengan menggunakan komputer riba yang dibekalkan oleh syarikat IT itu tanpa kebenaran daripada pihak KKM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat IT berkenaan di Bangsar di sini antara 1 April dan 13 Mei lepas mengikut Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (4) akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, manakala peguam S. Roshan mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jan untuk sebutan kes.

-- BERNAMA