Lima maut termasuk seorang bayi lelaki dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah bas persiaran yang terbabas dan terbalik di kawasan Kampung Surun-Surun, Jalan Marak Parak, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, bas tersebut yang membawa kakitangan Politeknik Sandakan dan ahli keluarga mereka disyaki telah hilang kawalan semasa menuruni bukit.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Mohd Izaan Abdullah berkata, kejadian berlaku bus milik Politeknik Sandakan dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Kudat.

"Semasa sedang menuruni bukit di kawasan Jalan Marak Parak, bus tersebut disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di kiri jalan arah ke Kota Marudu.

"Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke Kudat bagi menghadiri program 'Family Day' yang dianjurkan oleh Politeknik berkenaan.

"Polis trafik, Pihak Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Negeri (BSJN) daerah Kota Marudu telah digerakkan ke kawasan kejadian untuk bantuan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Tambah Mohd Izaan, tujuh mangsa lagi dilaporkan parah manakala 29 orang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kota Marudu dan Ranau untuk rawatan lanjut.