KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lima lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan kontrak pembersihan kapal tangki minyak berjumlah RM15.3 juta tiga tahun lalu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang pengurus anak syarikat minyak dan gas, dua bekas kakitangan syarikat berkenaan selain dua kontraktor.

Menurut sumber, kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 63 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pada jam 8 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Majistret Mahkamah Putrajaya, Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan pengurus bersama dua bekas kakitangan syarikat itu direman selama lima hari manakala kedua-dua kontraktor tersebut selama tiga hari bermula hari ini, selepas SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua individu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.