Penumpang sebuah bas ekspres berhadapan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 294, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Gopeng, awal pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, lima mangsa mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan pada jam 1.10 pagi. Sekumpulan anggota bergegas ke lokasi kejadian. BBP Tapah turut memberikan bantuan.

"Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang melanggar belakang sebuah lori treler. Didapati lima mangsa mengalami kecederaan, manakala 11 penumpang lain termasuk pemandu bas, selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Foto JBPM

Foto JBPM

Ujarnya, mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital dengan bantuan bomba dan pasukan perubatan Gopeng.

Operasi tamat pada jam 1.47 pagi.