Lima ahli perniagaan dari Johor yang maut dipercayai akibat terhidu gas bocor ketika menginap di sebuah apartmen di Nanning, China pada Ahad malam telah dikenal pasti.

Mereka adalah Chin Yoke Weng, 61, yang juga presiden persatuan itu, Yay Chong Chai, 42, Seah Foon Hong, 48, Ng Wei Shan, 28, dan Tan Bian Chiang, 41.

Manakala, isteri seorang daripada ahli perniagaan yang terselamat, Seah. ialah Lim Kim Lian, 46.

Dalam pada itu, Kedutaan Malaysia di China turut mengesahkan kejadian maut lima individu itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong.

"Saya diberitahu mengenai kejadian ini oleh pihak persatuan Peniaga Kecil Johor Baharu kerana seorang daripada mangsa merupakan presiden persatuan itu. Ahli keluarga mangsa yang terlibat meminta untuk dipercepatkan permohonan visa untuk ke negara China," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tee berkata permohonan visa bagi 10 anggota keluarga mangsa telahpun diluluskan hari ini dan mereka bakal berlepas ke China dari Lapangan Terbang Changi, Singapura, pada pukul 6 pagi esok.

Timbalan Presiden persatuan itu, Tey Tiam Hwang berkata seorang kenalan mereka di China telah memaklumkan pihaknya mengenai insiden itu semalam setelah membaca laporan tentang insiden itu dalam akhbar harian di China.

"Mereka pergi ke Nanning pada pagi Ahad lepas (15 Mac) dan sepatutnya pulang ke tanah air Ahad ini (22 Mac) bagi melakukan tinjauan terhadap peluang perniagaan," katanya.

Setakat ini, Wisma Putra belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden itu.