KOTA BHARU: Ahli perniagaan didakwa menjadi individu 'belakang tabir' kepada sindiket pengedaran dadah di negeri ini yang menyalurkan kewangan serta rantaian perhubungan dengan pelanggan mereka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mereka tidak terlibat dengan kegiatan berkenaan tetapi menggunakan individu tertentu bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelakkan ditahan polis.

"Ada ahli perniagaan yang menjadi penaja tetapi mereka tidak terlibat dengan transaksi atau pengedaran. Mereka hanya sebagai individu di sebalik kegiatan penyeludupan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar pelupusan barang dadah di sini pada Rabu.

Muhamad Zaki bagaimanapun enggan menyebut jumlah dan jenis perniagaan yang banyak berselindung di sebalik penyalahgunaan dadah tetapi berharap semua pihak bekerjasama membanteras kegiatan haram itu.

"Saya pernah menghadiri satu forum dan ada peserta memberitahu tiba-tiba melihat individu yang terlibat dalam perniagaan menjadi kaya.

"Orang yang ada duit mungkin boleh menjadi penaja. Kalau ada perkara yang mencurigakan, mereka boleh salurkan kepada polis," katanya.

Jelasnya lagi, pemimpin di peringkat bawahan mungkin boleh memberi maklumat yang tepat kerana mereka sentiasa berada di kawasan itu.

"Bagaimanapun, mungkin kerana mahu menjaga hati, mereka tidak melaporkan kepada polis, soalnya sekarang zaman ini tidak boleh lagi begitu kerana kemungkinan besar akan berlaku dalam keluarga kita," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, pelbagai jenis dadah yang dilupuskan membabitkan kes bagi tahun 1997 hingga 2024. -- Sinar Harian