MELAKA: Pengusaha pelancongan perlu dilibatkan dalam kempen-kempen promosi bagi membolehkan mereka menyalurkan maklumat secara langsung berkaitan perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan.

Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia Zohaime Muhamad Sori berkata kerjasama itu sekali gus dapat memastikan usaha kerajaan untuk merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan di Malaysia benar-benar dijayakan.

"Apabila kerajaan mengumumkan bajet yang tinggi bagi promosi, kita mengharapkan ia akan sampai sasarannya. Sebagai contoh, apabila mengadakan promosi ke luar negara ia perlu melibatkan penggiat industri daripada sektor masing-masing.

"Jika ia bertemakan inap desa, maka pengusahanya perlu dilibatkan bersama dalam kempen promosi itu supaya mereka sendiri dapat memberi taklimat dan menerangkan perkhidmatan disediakan kepada pelanggan, dan ia dilihat lebih memberi impak," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Kerajaan menerusi Belanjawan 2024 memperuntukkan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Menurut Zohaime, inisiatif itu selain dapat memperkenalkan negara kepada pelancong luar khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, ia juga dapat membantu pertumbuhan industri dan mencipta peluang ekonomi tempatan.

Beliau berkata usaha menarik pelancong perlu dilakukan dari sekarang dengan mengetengahkan keunikan dan keistimewaan yang terdapat di Malaysia bagi memastikan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong dapat dicapai.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 250 kluster kampungstay dan homestay di seluruh negara yang berdaftar dengan persatuan, dengan menawarkan pengalaman inap desa seperti cara makan, budaya hidup masyarakat dan sebagainya.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madelina Kuah Mei Lee pula melihat inisiatif Belanjawan MADANI 2024 bagi pelancongan itu akan memberi impak berkesan dalam menarik lebih ramai pelancong.

Menurutnya, seperti di Melaka, pelbagai aktiviti dan program dianjurkan oleh kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sejak awal tahun seperti sambutan Ambang Tahun Baharu, Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 dan lain-lain, dilihat menggalakkan pelawat ke negeri itu.

"Namun kita melihat usaha ini boleh ditambah baik dari semasa ke semasa dalam mempromosikan aspek pelancongan dengan menyediakan lebih banyak pintu ketibaan pelancongan menerusi laluan udara, laut mahupun darat.

"Selain itu, boleh juga memperbanyakkan lagi program seperti Twin Cities bersama lain-lain negara bagi perkongsian sejarah serta budaya selain menyediakan lebih banyak pilihan dalam sektor seperti makanan dan berbelanja, ekopelancongan, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan pendidikan," katanya.

-- BERNAMA