KUALA LUMPUR : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan setiap aktiviti penguatkuasaan termasuk pungutan dan guaman sivil dilakukan berlandaskan akta-akta percukaian yang berkuat kuasa.

Tegasnya, siasatan terhadap mana-mana individu termasuk ahli politik adalah bertujuan untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang percukaian.

Menerusi satu kenyataan, LHDN berkata, pihaknya komited menjalankan amanah yang diberikan tanpa rasa bimbang atau pilih kasih.

“Sebagai makluman, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDN adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata.

“LHDN tidak menyimpan maklumat kaum, agama apatah lagi kecenderungan politik individu di dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes.

BACA: Majlis Presiden PH kecam agensi kerajaan digunakan sebagai senjata politik

“Pada masa yang sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDN kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, LHDN sentiasa adil, saksama dan berintegriti kepada semua pembayar cukai serta bertindak berpandukan peruntukan undang-undang percukaian negara secara teratur dan profesional.

“Setiap tindakan adalah berpandukan Rangka Kerja Audit Cukai (RKAC) dan Rangka Kerja Siasatan Cukai (RKSC) yang boleh diakses menerusi portal rasmi LHDN,” ujarnya.

Katanya lagi, sekiranya ada sebarang rasa tidak berpuas hati, pihak berkaitan boleh mengemukakan rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dengan mengemukakan Borang Q.

“ Sebelum Borang Q dikemukakan kepada PKCP, pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDN melalui platform Prosiding Resolusi Pertikaian untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah.


[TERKINI] SPRM nafi tohmahan dijadikan senjata politik

“Sekiranya persetujuan luar mahkamah tidak dapat dicapai, Borang Q tersebut akan dikemukakan dan diputuskan oleh PKCP.

“Cukai merupakan hasil utama negara ini dan semua pihak wajar menunaikan tanggungjawab masing-masing ke arah Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Kesejahteraan dan kemakmuran negara adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat mengecam sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menerusi satu kenyataan media, Majlis Presiden PH mendakwa terdapat siri tindakan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), LHDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain memberi tekanan terhadap Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang, pegawai-pegawai malah ahli keluarga mereka.


Politik | PH dakwa agensi kerajaan 'senjata politik'