Pada pengumuman keputusan hari ini, Les Chanteurs Senior yang dibarisi murid 10 hingga 12 tahun manakala Les Chanteurs Junior membabitkan pelajar tujuh hingga sembilan tahun melakar sejarah tersendiri dalam kategori A1 Young Children dengan senior meraih emas selepas mengumpul 85.60 mata dan junior, perak dengan meraih 76.73 mata.
Les Chanteurs Senior dipimpin konduktor Azahar Abdullah berjaya memukau juri dengan lantunan dua lagu iatu Hanya di Mercu dibawa Ayu Damit dan Dance oleh Robert T. Gibson.
Les Chanteurs Junior pula dipimpin oleh konduktor Rabi’atul Raba’ah Baharudin tidak kurang hebat dengan menyaksikan penyanyi cilik yang comel turut menyanyikan dua lagu, Jangan Menyerah dibawa band Indonesia D’Masiv dan Eneza Upendo oleh Jim Papoulis.
Pada hari pertandingan kedua pasukan mengenakan busana elegan dengan persembahan nyanyian yang harmoni dan lebih menarik berserta iringan body percussion.
Les Chanteurs mula ditubuhkan pada tahun lalu (2023) yang hanya dibarisi 20 murid berusia 10 hingga 12 tahun; dengan Guru Pembimbing Adlia Syazana Abas.
Pasukan bermula dengan rentak cemerlang tahun lalu menerusi pencapaian sebagai juara di peringkat negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6 Ogos 2023), sebelum menerima anugerah lima kumpulan terbaik peringkat kebangsaan di Festival Gala Kesenian Malaysia pada September 2023 dan naib juara peringkat kebangsaan di Karnival Bahasa dan Kesenian, November 2023.
Susulan kejayaan cemerlang Les Chanteurs tahun lalu, pasukan sememangnya fokus untuk meraih gelaran di peringkat antarabangsa tahun ini dengan turut melatih lebih ramai ahli malah termasuk menubuhkan Les Chanteurs Juniors sebagai pelapis pasukan koir.
Salah seorang ahli Les Chanteurs Senior, Zoe Zef, 11, berkata, awalnya dia menyertai Les Chanteurs berikutan minatnya dalam nyanyian.
“Saya adalah antara barisan awal ahli pasukan 2023 yang pada ketika itu hanya dibarisi 20 murid.
“Berkat usaha dan kejayaan pasukan kami berjaya akhirnya ke peringkat antarabangsa malah lebih manis adik saya, Zia yang berusia lapan tahun menganggotai pasukan junior dan kami meraih kemenangan ini bersama.
“Ini adalah satu perjalanan yang menarik dan mencabar. Bagaimanapun langkah ini adalah pendekatan yang sesuai dalam membina jati diri kami sebagai murid,” katanya.
Pertandingan koir antarabangsa MCE yang berlangsung selama lima hari bermula 6 November lalu menyaksikan lebih 160 pasukan koir dengan lebih 5,000 peserta bertanding dengan antara negara yang berentap ialah Indonesia, Filipina, Taiwan dan Singapura.
Pusingan pertandingan diadakan serentak di tiga venue di Kuala Lumpur; Dewan Filharmonik Petronas, klpac dan Menara KEN Taman Tun Dr Ismail.