Lepasan diploma program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) digalakkan menyambung pengajian kemahiran ke peringkat sarjana muda yang ditawarkan universiti tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata pelbagai universiti tempatan kini menawarkan pengajian ijazah yang bersesuaian melalui kerjasama dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dalam usaha memperkasa TVET.

"Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi universiti kelima yang menerima lepasan pelajar Diploma Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

"Sebelum ini, tawaran pengajian Ijazah ini dijalankan di bawah rangkaian Universiti Teknologi Malaysia dengan gabungan empat universiti iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP)," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UMK dan JTM di UMK Kampus Bachok di sini hari ini.

Mahfuz menyaksikan pemeteraian MoU itu yang ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

MoU selama tiga tahun itu bermatlamat untuk membolehkan graduan diploma melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, penawaran itu antara lain memberi peluang kepada pelajar kemahiran mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi.

"Kerjasama sebegini membentuk semula keyakinan ibu bapa terhadap bidang TVET, kalau dulu tidak berapa yakin dengan pendidikan bidang kemahiran, kini pelajar boleh sambung pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Cuma kita mahu graduan TVET ini mencipta peluang pekerjaan baru atau mencipta produk," katanya.

Beliau berkata, kerjasama bagi tempoh tiga tahun itu juga merangkumi kerjasama kedua-dua pihak dalam perkongsian teoritikal, teknikal dan praktikal dalam bidang teknik dan vokasional.

"Antara bidang pengajian yang jadi tumpuan kita pula di bidang pemasaran internet, sebab mahu memenuhi keperluan industri dalam menghadapi arus Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

"TVET bukan hanya kemahiran teknikal tapi kita juga seiringkan kemahiran lain seperti sektor pertanian yang kita pertingkatkan menggunakan teknologi semasa sebab itu kita juga mahu kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bawa pelaburan yang boleh mengguna pakai kemahiran yang dimilik pelajar TVET," katanya.

-- BERNAMA