Pertama kali menjejakkan kaki ke Galeri Aki yang diusahakan oleh Lukhman Mahmud, 62, ini, anda akan terpegun dengan kelainan dan daya kreatif yang diilhamkannya bagi menonjolkan jati diri Melayu.
Pandangannya terhadap nilai komersil di Lenggong juga berbeza, malah secara tegas dia berpendirian masih banyak khazanah yang belum diteroka dan diperkenal kepada umum.
Tidak keterlaluan jika dikatakan dia agak kecewa dengan nilai warisan yang tidak begitu serius diangkat sebagaimana negeri lain di Malaysia, khususnya Kedah dan Melaka.
Lebih-lebih lagi apabila Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sudah berada di bawah pengurusan kerajaan negeri.
"Saya berpendapat daya kreatif kurang dari pemimpin komuniti. Termasuk pemimpin politik di sini, apa yang mereka nak ketengahkan? Sebaiknya kita tingkatkan pendapatan komuniti.
"Ada saya dengar mereka mahu angkat makanan kebebe, tetapi sejauh mana nilai komersilnya? Bila orang datang ke sini, orang bercerita tentang ikan pekasam, kita sudah dapat pengiktirafan UNESCO tetapi cerita tentang pekasam.
"Isunya di sini ialah bagaimana kita nak bina imej kepada Lenggong, tak salah ikan pekasam itu tetapi kita kena ada identiti untuk tempat ini.
"Kalau Melaka ada penceritaan, begitu juga Negeri Sembilan, Langkawi dengan Mahsuri. Di sini sebenarnya terkenal dengan kota purba, Lenggong itu sendiri di dalam lembah atau kawah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, sebagai cadangan, kerajaan negeri wajar mengangkat imej kota di Lenggong, di samping membezakan antara riadah dan sejarah.
"Guna elemen Melayu yang ada di sini untuk angkat warisan Melayu, Lenggong ada bermacam keunikan dan auranya. Namun sayangnya kurang pembangunan, kalau ada pun keperluan asas untuk orang ramai.
"Orang yang datang tidak kira dari negara mana pun, mereka akan pilih sejarah. Patutnya bangunkan nilai sejarah. Kalau kata riadah, apa bezanya air terjun di sini dengan Janda Baik?
"Pengiktirafan UNESCO itu adalah tiket paling mahal yang bagi saya tidak digilap, atas kesedaran itu saya nekad untuk usahakan Galeri Aki ini, hasil titik peluh saya sendiri, untuk menguar-uarkan tentang sejarah di sini kepada umum.
"Ini cara untuk tarik orang datang ke Lenggong, barangan di sini merupakan koleksi saya, ada yang dibeli, dan ada yang orang kampung bagi. Barangan di sini ada cerita sejarahnya sendiri.
"Ada tiga elemen penting di sini seperti rumah Melayu berusia lebih 60 tahun dan Kota Gangga Negara iaitu sejarah Beruas. Saya bina semula sebahagiannya dan ubah suai serba sedikit kota tersebut di sini," katanya.
Jelasnya lagi, galeri tersebut sentiasa dikunjungi orang ramai khususnya hujung minggu dan kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM10 bagi mereka yang membuat tempahan.
Bagaimanapun katanya, bagi yang datang secara 'walk-in' pula selalunya diberikan kelonggaran dan bayaran bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Bagi anda yang datang ke Aki's Gallery di Kampung Chepor, anda berpeluang melihat barangan yang dipamerkan seperti rumah Melayu lama, Kota Gangga Negara, peralatan pertanian, tanaman padi, koleksi getah dan kedai gunting rambut ketika Perang Dunia Kedua.