KOTA KINABALU: Menjejakkan kaki ke dalam Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau (MBCA) di Sabah yang kaya dengan khazanah warisan hutan hujan tropika yang tidak disentuh arus rakus pembangunan, seolah-olah berada dalam dunia semula jadi yang mengasyikkan.
Digelar sebagai 'The Lost World of Sabah', di dalam Lembangan Maliau bukan sahaja terdapat pokok-pokok tinggi melangit dengan dedaun berwarna-warni tetapi juga dihiburkan dengan pelbagai bunyi yang kedengaran begitu asing. Rupanya itulah bunyi laungan ungka ditambah bunyi nyaring reriang yang ada ketikanya membingitkan telinga.
Keindahan suasana hutan dikayakan dengan pelbagai tumbuhan herba dan penulis berasa bertuah kerana mendapat peluang mencerap serta menghayati kesemuanya ini apabila disenaraikan sebagai "wartawan pendamping" misi tinjauan hidupan liar dan sumber di MBCA oleh Yayasan Sabah.
Tinjauan selama 14 hari itu, yang berakhir pada 26 Mei lepas, bertujuan memdokumenkan hidupan liar Lembangan Maliau yang begitu banyak serta taburannya dengan menggunakan kamera perangkap, di samping menilai potensi kawasan berkenaan untuk pembangunan pelancongan. Misi itu juga mengenalpasti soalan-soalan penyelidikan untuk eksplorasi pada masa depan.
Terletak di selatan tengah Sabah, bersebelahan Kawasan Konsesi Yayasan Sabah, sekitar 190 kilometer dari bandar Tawau, Lembangan Maliau meliputi kawasan seluas 58,840 hektar atau 588.4 kilometer persegi hutan hujan.
Untuk rekod, pada tahun 1981, Yayasan Sabah secara sukarela menetapkan lembangan yang besar dan belum diterokai sebagai kawasan pemuliharaan kelas pertama untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan latihan. Pada tahun 1984, Kabinet negeri Sabah meluluskan penetapan Lembangan Maliau oleh Yayasan Sabah sebagai kawasan pemuliharaan.
MENDIRIKAN KEM
Sesiapa sahaja yang berkesempatan mengunjungi MBCA pastinya akan pulang dengan kefahaman yang lebih terhadap pentingnya melindungi serta memulihara saki-baki hutan hujan Malaysia yang masih belum diterokai.
MBCA dan khazanah semula jadi lain Sabah seperti Lembah Danum dan Ngarai atau Kanyon Imbak mendapat manfaat daripada usaha pemuliharaan Malaysia, terutamanya oleh kerajaan negeri Sabah, yang turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Misi tinjauan yang saya sertai baru-baru ini melibatkan lebih 100 orang peserta yang dibahagikan kepada sembilan pasukan dan setiap pasukan ditempatkan di salah satu daripada sembilan tapak kem.
Langkah yang dibuat ini memastikan liputan tinjauan yang menyeluruh dalam lingkungan lima kilometer di luar dan hampir kepada rim bulat Lembangan Maliau.
Saya menyertai sekumpulan 15 orang penyelidik yang kelihatan begitu super-fit dari Yayasan Sabah, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Memandangkan tapak kem yang ditetapkan untuk pasukan yang saya sertai tidak boleh diakses melalui jalan darat, kami dibawa ke sana dari Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau dengan helikopter. Begitu juga dengan tiga pasukan lain. Perjalanan dengan helikopter ke tapak kem hanya mengambil masa enam minit.
Tanpa kemudahan helikopter itu, sudah pasti kami memerlukan masa beberapa hari menjejak hutan tebal dengan mengheret beg bekalan untuk dua minggu, termasuk khemah, barangan peribadi dan keperluan lain.
Tapak kem kami, terletak di antara dua sungai dan meskipun dikelilingi pokok-pokok yang tinggi yang berdaun lebat, kami masih dapat melihat kelibat burung kenyalang yang berterbangan hampir setiap hari.
Sungai yang hampir dengan kem kami kecil dan agak cetek tetapi air yang mengalir deras begitu jernih sementara sungai yang satu lagi besar tetapi airnya keruh.
Pada hari kedua, pasukan kami memasang sembilan kamera perangkap di tapak kem, meletakkan setiap satu di lokasi yang strategik. Kami juga memasang jaring untuk memerangkap burung untuk tujuan menyemak senarai.
GELOMBANG AIR BESAR 'KEPALA AIR'
Pada hari ketiga, lapan daripada anggota kumpulan kami meninggalkan tapak kem untuk memulakan misi ke rim bulat Lembangan Maliau.
Pada sekitar pukul 11 malam hari keempat, kekecohan berlaku di tapak kem kami apabila seseorang menjerit, 'kepala air, jangan tidur'. Masa itu saya baru sahaja hampir terlelap dan hujan gerimis.
Dengan pantas saya melompat turun dari katil-buaian dan saya perhatikan rakan-rakan saya lain sudah sibuk mengemas barang-barang mereka.
Dengan lampu suluh di tangan, saya berjalan ke sungai yang berhampiran dengan tapak kem saya dan alangkah terkejut melihat gelombang air menderu laju dan hampir mencecah paras bahaya.
Keadaan menjadi kecoh selepas seorang rakan yang terlalu cemas berkata, "kalau kedua-dua sungai ini banjir besar, habislah kita!"
Kami bernasib baik kerana episod gelombang air itu hanya berlaku beberapa jam sahaja. Menjelang lewat petang keadaan sungai kembali kepada paras biasa dan airnya kembali jernih untuk kegunaan kami.
Pada hari yang sama, kumpulan yang memulakan misi untuk ke rim bulat Limbanan Maliau kembali ke kem sambil menjelaskan, perjalanan yang perlu dilakukan untuk ke sana memerlukan sekurang-kurangnya lima hari atau lebih kerana laluan yang sukar dan berbukit.
POKOK BERUSIA 500 TAHUN
Saya berkesempatan menjejak kawasan hutan dengan ketua pasukan kami, Profesor Dr Abd Hamid Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) David Francis dari Yayasan Sabah.
Menurut Abd Hamid, kerja mengumpul data yang mereka lakukan adalah penting untuk memperkukuhkan pengurusan MBCA.
"Oleh sebab itu, tinjauan lapangan kami mematuhi pelan pengurusan strategik MBCA. Penting untuk mempunyai pelan pengurusan strategik untuk mana-mana kawasan pemuliharaan di Sabah, yang perlu dikendalikan sewajarnya bagi menjamin kelestariannya," beliau memberitahu Bernama.
Kami menjadi begitu teruja apabila melewati kawasan yang dipenuhi pokok belian, yang juga dikenali sebagai 'Ironwood of Borneo'. Kami juga menjumpai banyak benih pokok belian yang jatuh bertaburan.
Abd Hamid berkata, sesetengah pokok belian mungkin berusia 400 hingga 500 tahun, berdasarkan saiz pokok. Pokok berkenaan mencerminkan kekayaan kepelbagaian biologi Lembangan Maliau.
Dua hari sebelum pulang ke Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau, pasukan kami mengumpul semua kamera perangkap dan kemudian memeriksa hasilnya.
Kami berasa begitu gembira apabila salah satu daripada kamera berkenaan merakam seekor banteng (spesies lembu liar Asia Tenggara) yang bersendirian, cantik dan sihat. Haiwan ini juga dikenali sebagai Tembadau dalam kalangan penduduk tempatan.
Kamera yang lain merakamkan kehadiran 'muntjac' (spesies rusa), beruang matahari dan burung pegar 'Bornean crested fireback pheasant' dan burung pegar Bulwer.
MENDOKUMEN HIDUPAN LIAR
Menurut setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Maliau Dr Waidi Sinun, tinjauan hidupan liar itu penting bagi memastikan MBCA dipulihara secara mampan dan dikekalkan untuk manfaat generasi akan datang.
"Warisan (seperti MBCA) akan menjadi lebih terjamin sekiranya orang ramai secara kolektif diberi kesedaran akan tanggungjawab mereka untuk memelihara dan melindungi tempat ini.
"Saya percaya dalam perkongsian dan memperkasakan orang, generasi muda tentang tanggungjawab mengurus semua kawasan pemuliharaan kita," katanya.
Beliau juga berharap tinjauan sumber dan hidupan liar Yayasan Sabah yang dilakukan baru-baru ini akan menyediakan maklumat untuk para perancang mereka merangka pelan pengurusan strategik untuk MBCA bagi tempoh 2024-2034.
Mengikut laporan, salah seorang yang pertama menemui Lembangan Maliau adalah seorang juruterbang pesawat ringan yang pada tahun 1947, hampir-hampir melanggar tebing rim utara Lembangan Maliau, yang ketika itu wilayah yang belum diterokai.
EKSPEDISI SAINTIFIK
Di luar zon penampan MBCA terdapat komuniti suku kaum Murut yang tinggal di tanah milik negeri. Dalam bahasa mereka, Maliau bermaksud 'Tanah Tangga Gergasi', kemungkinan merujuk kepada sungai yang seakan bertangga-tangga dan banyaknya air terjun di kawasan berkenaan.
Menurut Yayasan Sabah, satu pasukan dari Muzium Sabah pernah mencuba meneroka rim barat Lembangan Maliau pada tahun 1980, tetapi berpatah balik kerana serangan penyakit malaria dan kekurangan bekalan.
Pada tahun 1986, pelan mula dirangka untuk menganjurkan ekspedisi saintifik utama yang julung-julung kali diadakan, dilakukan secara gandingan antara Yayasan Sabah dan WWF-Malaysia.
Pada tahun 1997, Dewan Undangan Negeri Sabah mengundi untuk mewartakan Lembangan Maliau sebagai Hutan Simpan (Perlindungan) Kelas Satu. Keluasan kawasannya turut ditambah kepada 58,840 hektar untuk memasukkan cerun luaran Lembangan dan Tasik Linumunsut, dan mengeluarkannya daripada kawasan konsesi balak Yayasan Sabah.
Sementara itu, hasil awal daripada sembilan pasukan yang menyertai misi tinjauan yang dijalankan baru-baru ini mendapati bahawa MBCA masih terdedah kepada penceroboh dengan penemuan kem yang ditinggalkan serta sarung peluru.
Bagaimanapun, dapatan menarik turut diperolehi termasuk rekod baru taburan burung, gunung berapi lumpur dan taburan baharu spesies seperti banteng dan gajah pigmi.
Yayasan Sabah pada masa ini sedang mengkaji dan mendokumentasikan kesemua data dan dapatan berkenaan.
-- BERNAMA/Emin Madi
Bernama
Tue Jun 18 2024
Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau (MBCA) di Sabah kaya dengan khazanah warisan hutan hujan tropika yang tidak tersentuh arus pembangunan. - Foto BERNAMA
[TERKINI] Perkembangan terkini kemalangan tiga kenderaan
Lintas langsung di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban berhampiran RnR Ayer Keroh.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi seketika - Kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
Malaysia, Bahrain sempena 50 tahun hubungan diplomatik
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Lelaki bakar penumpang tren bawah tanah hingga maut ditahan
Polis New York City menahan seorang lelaki pada Ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Tahanan Guantanamo: Pemulihan fokus aspek psikologi, hubungan kekeluargaan
Aspek psikologi perlu diuruskan terlebih dahulu kerana individu yang menyertai kumpulan pengganas kebiasaannya adalah mereka yang menanggung emosi yang berat serta berpandangan radikal.
Rating penerimaan PM Anwar meningkat kepada 54 % tahun kedua
Rating kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
[TERKINI] Sekurang-kurangnya enam maut, tiga kenderaan bertembung berhampiran RnR Ayer Keroh
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Konsert Maliq & D'Essentials ditunda
Kumpulan itu berjanji untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.
Lembangan Maliau: Meneroka khazanah warisan 'The Lost World of Sabah'
Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau (MBCA) di Sabah kaya dengan khazanah warisan hutan hujan tropika yang tidak disentuh arus rakus pembangunan.