PETALING JAYA: Seorang pemandu kereta berwarna kuning yang tular dalam aksi 'drift' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan memandu secara melulu di sebuah stesen minyak di Damansara Damai di sini Isnin lalu.


Ringkasan AI
  • R Simachalam, pemandu kereta yang tular dalam aksi 'drift', mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara melulu di sebuah stesen minyak di Damansara Damai.
  • Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 28 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.


Pembantu kedai runcit, R Simachalam, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Proton Perdana secara melulu yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan diri orang lain, di Jalan PJU10/10B, Damansara Damai, pada 2.55 petang, 9 Disember lalu.

Lelaki bujang itu dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Bagi sabitan kedua atau seterusnya, hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, V Pushparajan yang mewakili tertuduh merayu, anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

"Dia perlu menjaga ibunya yang berusia 59 tahun dan abang yang lumpuh berusia 39 tahun," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Farah Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pada Khamis, media melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular membabitkan tindakan seorang lelaki merokok di sebuah stesen minyak dan kemudian melakukan provokasi dengan memandu secara berbahaya apabila ditegur oleh seorang orang awam. -Sinar Harian