KOTA BHARU: Tindakan seorang bapa yang membawa sejumlah dadah dengan ditemani anak perempuannya berusia lima tahun gagal mengaburi mata pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, suspek bersama anaknya telah ditahan dalam sebuah kereta jenis Toyota Avanza di Kuala Krai bersama pil yaba dianggarkan bernilai RM480,000.

"Kadang-kadang inilah satu cara yang agak popular untuk mengaburi kita, kadang-kadang bawa anak. Dia rasa pemeriksaan tak akan teliti tetapi pihak polis dengan pengalaman dan intelligence (risikan) yang kita ada sesiapa pun tidak akan terlepas. Usaha dia nak kelirukan pihak polis," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zaki berkata suspek ditahan pada petang 15 Mei lepas di depan sebuah pasar raya di Kuala Krai.

Dadah | Taktik licik bawa anak ketika menyeludup


Hasil pemeriksaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik mendapati suspek membawa 48,000 biji pil yaba yang dipercayai untuk pasaran di Bachok.

Suspek berusia 28 tahun terbabit adalah warganegara Thailand dan tinggal di Bachok, manakala anaknya mempunyai kerakyatan Malaysia dan dibebaskan.

Muhammad Zaki berkata, hasil risikan juga mendapati dadah berkenaan diambil dari rakannya di negara jiran dan mempunyai rangkaian pengedaran dadah.

Suspek berkenaan direman sehingga 22 Mei depan dan kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.