KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lelaki disyaki memperdaya seorang kontraktor untuk memberikan wang rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan untuk mendapatkan projek tidak wujud di Beluran, lima tahun lepas.

Menurut sumber, suspek yang berusia lingkungan 60an itu telah meminta dan menerima rasuah itu kononnya bagi membantu kontraktor berkenaan mendapatkan projek membaiki sebuah sekolah yang bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Suspek yang berkerja sendiri telah ditahan di Pejabat SPRM Sabah di sini pada 10.30 pagi tadi ketika hadir bagi memberikan keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan itu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, esok," katanya.

-- BERNAMA