KUANTAN: Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM150,000 selepas disamun oleh dua lelaki di hadapan sebuah bank di Jalan Beserah, di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 2.15 petang itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 41 tahun itu telah disamun oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

"Ketika kejadian mangsa juga telah terjatuh hingga terbaring di atas jalan dan suspek melarikan wang yang baru dikeluarkannya," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh menganggu siasatan dan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-5652222 atau mana-mana polis berdekatan, katanya.

Terdahulu, video yang memaparkan keadaan mangsa terbaring di atas jalan berhadapan bank berkenaan tular di media sosial. - BERNAMA