MANJUNG: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Sitiawan, di sini sehingga menyebabkan seorang lelaki rentung.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 2.39 pagi tadi.

Katanya, siasatan mendapati seorang saksi melihat suspek lelaki dikenali telah masuk ke dalam rumah dan terdengar bunyi hentakan di ruang tamu.

"Suspek dilihat keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol dan meninggalkan rumah sebelum saksi menyedari kebakaran.

"Pemeriksaan dalam rumah mendapati mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung tertiarap di ruang tamu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, katanya, pada tarikh sama pihak polis telah berjaya menahan suspek berhampiran dengan tempat kejadian.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan tahanan reman ke atas tangkapan dibenarkan selama tujuh hari bagi siasatan lanjut pihak polis.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, ASP Azalan Ab. Karim di talian 019-392 7837 atau bilik gerakan IPD manjung di talian 05-688 6222.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan rentung, manakala tujuh lagi terselamat dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan, di sini pada awal pagi Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.