TELUK INTAN: Seorang lelaki yang menjalani kuarantin akibat positif COVID-19 ditemui meninggal dunia di rumahnya di Taman Seri Setia, di sini, pada Ahad.

Mayat penjawat awam berusia 47 tahun dan masih bujang itu ditemui terbaring di dalam rumah seorang diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 malam daripada rakan mangsa yang meminta bantuan selepas lelaki terbabit gagal dihubungi beberapa kali.

"Rakannya bimbang sesuatu terjadi kerana mangsa ketika itu sedang menjalani kuarantin seorang diri di rumah akibat positif COVID-19.

"Anggota bertugas yang membuat rondaan mendapati pintu dan tingkap rumah mangsa dalam keadaan berkunci, namun dengan bantuan anggota bomba, pintu rumah itu berjaya dibuka.

"Mangsa kemudian dijumpai terbaring dalam rumah dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan dan punca kematian telah disahkan adalah disebabkan COVID-19.

Berdasarkan keterangan saksi, katanya, mangsa disahkan positif COVID-19 pada 28 September lepas.

"Pemeriksaan di rumah mendapati tiada kesan-kesan pencerobohan berlaku dan fizikal mangsa juga tidak mempunyai unsur jenayah.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut disebabkan Covid-19," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian