PENGKALAN HULU: Seorang lelaki maut selepas tersepit apabila jengkaut dikendalikannya terbalik di lereng bukit di sebuah lombong bijih timah di Klian Intan, dekat sini, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Lum Kok Hon, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu  pada jam 11.56 pagi.

Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah jengkaut (excavator) terbalik di tepi lereng bukit, terdapat seorang mangsa telah tersepit disahkan maut oleh pihak perubatan, selepas kerja-kerja menyelamat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pasukan bomba menggunakan peralatan hidrolik dan gergaji bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (TBK) Mohd Rizal Sazali tamat sepenuhnya pada jam 3.15 petang.