TAWAU: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjun dari tingkat lima kawasan tempat letak kereta salah sebuah bangunan komersil di Jalan Kuhara Tawau pada Jumaat.

Mangsa yang berusia 38 tahun itu ditemui dengan kecederaan parah di kepala oleh pengawal keselamatan di kaki lima bangunan tersebut kira-kira pukul 6 pagi.

Ketua polis daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan bangunan itu terkejut lalu melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Menurutnya, siasatan awal melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di bangunan itu mendapati mangsa didapati menaiki bangunan tersebut melalui laluan kenderaan tingkat lima pada kira-kira pukul 3 pagi.

"Bagaimanapun pergerakan mangsa terjun tidak dirakam CCTV itu. Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Peter, turut ditemui di lokasi kejadian ialah sebuah beg berwarna hitam berisi pakaian dipercayai milik mangsa.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat selepas keputusan ujian COVID-19 diperolehi dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.