Seorang lelaki ditemui lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam sebuah lubuk di Air Terjun Lata Sungai Kedondong, Batang Kali, Hulu Selangor, pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata ketika kejadian mangsa, Muhammad Akmal Jamal, 26, dari Subang bersama empat rakannya telah tergelincir dan jatuh ke dalam lubuk air terjun berkenaan kira-kira 3 petang.

"Pihak Bomba telah menerima panggilan kecemasan dari rakan mangsa pada pukul 3.38 petang dan sebuah jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu ke lokasi kejadian.

"Hasil pencarian, mangsa telah ditemui anggota penyelamat pada pukul 6.25 petang di dasar air terjun berkenaan," katanya.

Mohd Sani berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA