Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila kereta yang dinaikinya bersama seorang rakan terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Sungai Gadut-Rantau, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.30 petang.

"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 48 tahun, yang merupakan pemandu kereta Proton Saga FLX terperangkap di dalam keretanya selepas kenderaan itu dihanyutkan arus deras ke Sungai Gadut ketika hujan lebat petang tadi.

"Rakannya yang berusia 35 tahun berjaya menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Norazam berkata 24 anggota dari Balai Bomba Senawang, Seremban 2 dan pasukan penyelamat telah digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Operasi ini turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Setakat ini, air sungai sedang surut dan jika arus tidak deras kami akan teruskan operasi pencarian, katanya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga ke Kuala Sawah dan Sungai Linggi.

"Kita percaya kereta tersebut berada dalam lingkungan lima hingga 30 kilometer dari lokasi kejadian.

"Jika cuaca baik, operasi akan diteruskan sehingga 12 tengah malam dan akan bersambung pagi esok sekiranya mangsa masih belum ditemui," katanya.

-- BERNAMA