MUAR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar hari ini atas pertuduhan membunuh ibu bapa dan anak saudaranya sebelum membakar kediaman yang didiami mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini, dua minggu lalu.

Tertuduh Azman Mohamed Nor, 48, hanya menunduk faham dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh ke atas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Ab Hamit, 76 dan Noradriana Nor Hasyim, 11, antara jam 1 pagi sehingga 3 pagi di rumah alamat No.33, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, dalam daerah Muar pada 9 Ogos 2024.

Tertuduh yang juga anak sulung kepada mangsa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Marzuki tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu dalam tempoh dua bulan sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat memandangkan mangsa adalah tiga orang.

Majistret Suzana kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 24 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Dalam prosiding berasingan dihadapan Hakim Nariman Badruddin tertuduh turut didakwa dan mengaku bersalah menyebabkan cedera parah ke atas Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dah hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir bagaimanapun memohon tarikh baharu bagi mendapatkan fakta lengkap dan hukuman.

Hakim Nariman kemudian menetapkan 12 September ini sebagai tarikh jatuh hukum selain tidak membenarkan sebarang jaminan.

Terdahulu, dalam kejadian awal pagi 9 Ogos lalu pasangan suami isteri warga emas serta cucu mereka berusia, 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.

Pasangan warga emas itu maut dilokasi kejadian manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HPSF.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.

Tertuduh yang merupakan anak sulung kepada pasangan warga emas yang melarikan diri ketika kejadian itu kemudian ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur lima hari kemudian.