Kejadian yang dipercayai berlaku sebelum solat Subuh itu tular dalam satu rakaman video berdurasi 2 minit 46 saat menerusi laman media sosial Facebook milik seorang individu sejak tengah hari Khamis.
Menurut sumber, lelaki berusia lewat 20-an itu memandu kereta dari kediamannya di Jalan U Thant, di sini sebelum menuju ke masjid berkenaan.
"Pada masa sama, keluarganya yang menaiki sebuah lagi kenderaan lain turut mengekori lelaki itu dari belakang.
"Sebaik tiba di pekarangan masjid, lelaki itu terus meluru masuk dan membuat kecoh ketika semua jemaah sedang bersedia untuk menunaikan solat Subuh," katanya.
Berdasarkan rakaman video tersebut, lelaki itu kemudian ditenangkan oleh jemaah masjid dan ahli keluarganya sebelum dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis yang tiba di masjid itu.
Dia kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan sebagai seorang pesakit mental.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, dijangka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. - Sinar Harian