Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) yang bernilai RM337 juta sebagai penghubung jalan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah akan dibuka pada awal bulan Jun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra di Jabatan Kerja Raya Malaysia, Datuk Dr Roslan Md Taha berkata pembinaan fizikal penghubung jalan itu kini 92 peratus siap dan kerja-kerja kemasan terakhir akan dijalankan bermula April.

Katanya, pembinaan BLE kini berada di peringkat akhir dengan selesainya pemasangan tiang 19 dan 20 pada struktur utama.

Pembukaan BLE ini dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dari Batu Maung ke Sungai Nibong.

"Kami berharap BLE ini mampu disiapkan dan buka untuk laluan trafik lebih awal daripada sasarannya iaitu Jun ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyambungan segmen akhir jejambat projek menaik taraf BLE di sini pada Selasa.

Beliau berkata pembinaan BLE ini terdiri daripada dua komponen utama iaitu struktur bertingkat berukuran 3.2km yang merupakan lebuh raya empat lorong dua hala.

Katanya, struktur komponen pertama terdiri daripada sebuah rentang "standard span" dan rentang utama "special span".

"Komponen kedua merupakan kerja-kerja menaik taraf lebuh raya empat lorong dua hala sepanjang 4.2km yang dibina pada jalan yang sama dimana sepanjang laluan ini terdapat tiga persimpangan, iaitu Hilir Sungai Kluang 1, Lebuhraya Kampung Jawa dan Jalan Kampung Jawa," katanya.

Tambahnya, projek ini bakal dilengkapi lampu jalan LED, perparitan, lorong basikal, jambatan basikal dan pembahagi jalan.