KUALA NERUS: Sebanyak 51 peratus daripada golongan dewasa di Terengganu mengalami masalah obesiti atau lebih berat badan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, data itu hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun lepas.

Beliau berkata, kadar obesiti di Terengganu juga didapati meningkat iaitu daripada 47.5 peratus pada 2015 kepada 49 peratus pada 2019.

"Masalah obesiti atau lebih berat badan paling tinggi dalam kalangan individu berusia 25 hingga 50 tahun. Boleh dikatakan satu daripada dua dewasa di Terengganu berdepan masalah berkenaan," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Kasemani berkata, setakat ini tiada jangkitan cacar monyet (mpox) di negeri ini.

Bagaimanapun, JKNT turut membuat persiapan dengan memberi taklimat kepada pegawai perubatan dan kakitangan di hospital serta Klinik Kesihatan mengenai ancaman jangkitan.

"Ekoran pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa, kami di JKNT turut siap siaga dengan memberikan taklimat kepada petugas hospital bagi memastikan mereka tahu apa perlu dibuat sekiranya ada kes dilaporkan," katanya. - BERNAMA