KUALA LUMPUR: Lebih 60 peratus penduduk Asia Tenggara dan Malaysia percaya bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) memberi lebih banyak kebaikan berbanding kelemahan akibat teknologi tersebut.

Hasil kajian firma penyelidikan pasaran, Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) mendapati 71 peratus responden Asia Tenggara, manakala 69 peratus responden Malaysia menyuarakan pandangan tersebut.

Manakala, 54 peratus responden di seluruh dunia turut bersetuju terutamanya penggunaan AI dijangka mengubah secara mendalam kehidupan harian mereka.

.

Begitupun, kajian tersebut mendedahkan 78 peratus penduduk di Asia Tenggara dan Malaysia bersetuju bahawa produk dan perkhidmatan yang menggunakan AI akan mengubah kehidupan harian secara ketara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Selain itu, 67 peratus dan  70 peratus responden Asia Tenggara dan Malaysia percaya terhadap syarikat yang menggunakan teknologi berkenaan, sama seperti seperti kepercayaan terhadap syarikat lain (yang tidak menggunakan AI).

Kajian tersebut dijalankan pada 26 Mei hingga 9 Jun melibatkan 22,816 individu dewasa berusia bawah 75 tahun di 31 negara di seluruh dunia.

.

Dijalankan secara dalam talian, ia antaranya melibatkan sampel dari Brazil, Chile, Columbia, India, Indonesia, Singapura, Thailand serta Turki.

Dalam masa sama, kajian Ipsos mendapati separuh rakyat Malaysia bimbang dengan kesan penggunaan AI.

Sebanyak 55 peratus responden Malaysia setuju bahawa produk dan perkhidmatan yang menggunakan AI membuatkan mereka gementar.

.

Sementara itu, secara purata 53 dan 52 peratus responden di negara Asia Tenggara dan seluruh dunia masing-masing turut berpandangan sama.

Sebanyak 81 peratus responden Malaysia juga setuju bahawa AI akan mengubah cara kerja semasa, dengan 62 peratus setuju teknologi itu akan menggantikan kerja semasa.

Dari segi keupayaan AI membaiki kehidupan terutama masa, kecekapan dan hiburan, 67 peratus responden Malaysia dan 62 peratus responden Asia Tenggara berpandangan ia adalah lebih baik dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Sementara itu, Pengurus Kanan Penyelidikan Hal Ehwal Awam Ipsos, Azamat Ababakirov berkata AI sedang berkembang pesat dan akan terus bergerak pada kadar yang semakin pantas dalam masa terdekat.

"Individu dan kerajaan perlu sedar serta bersedia untuk menghadapi peralihan masyarakat sambil menikmati faedah penggunaan AI," katanya dalam satu kenyataan.