PORT DICKSON: Sebanyak 4,324 laman sesawang disekat atas pelbagai kesalahan antaranya menjual barangan tiruan, pengedaran karya cetak rompak dan penawaran jualan langsung berunsurkan skim piramid sejak 2018 hingga 15 Ogos lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan itu dibuat hasil kerjasama pihaknya dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia perkhidmatan internet (ISP) bagi memantau promosi dan iklan perniagaan melibatkan transaksi secara dalam talian.

"Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan ke atas urus niaga dalam talian ini bertujuan melindungi pengguna daripada manipulasi peniaga yang tidak beretika," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata ia juga bagi menguatkuasakan perundangan berkaitan termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang untuk menurunkan 3,408 iklan termasuk bagi kesalahan berkaitan penjualan barang kawalan melebihi harga diwartakan, barangan tiruan dan penggunaan perkataan no palm oil ke atas produk bagi tempoh sama.

Beliau berkata KPDN akan terus memperkasa kerjasama dengan agensi berkenaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kesalahan urus niaga dalam talian dapat dibanteras sekali gus mewujudkan persekitaran perdagangan yang sihat dan progresif.

Armizan turut menyeru pengguna untuk membuat aduan kepada KPDN berhubung sebarang transaksi yang dilihat menyalahi perundangan dan tindakan segera akan diambil ke atas pihak melakukan kesalahan itu.

-- BERNAMA