ALOR SETAR: Lebih 120,000 kenderaan dijangka memasuki daerah Kota Setar menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga menerusi Op Selamat 18/2022 bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya selain mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.

"Sebelum COVID-19 dalam Op Selamat 15/2019, jumlah kemalangan adalah sebanyak 329 kes, kematian dua kes dan saman yang dikeluarkan sebanyak 4,253.

"Dalam operasi tahun ini, belum ada sebarang kes kematian yang dicatatkan," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, beliau menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Alor Setar Selatan sempena program advokasi serta turut berbuka puasa bersama petugas trafik.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata bagi memastikan kelancaran trafik di Kota Setar, pihaknya telah menugaskan anggota di kawasan persimpangan yang kerap berlaku kesesakan jalan raya.

"Kita juga telah mewujudkan satu pasukan Jammed Squad, terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota, yang bertindak sebagai respon utama untuk menyuraikan kesesakan jalan raya yang berlaku.

"Polis juga meminta pengguna jalan raya untuk menyalurkan aduan dan maklumat berhubung kesalahan trafik dengan menghantar bukti gambar dan video.

"Sekiranya pengguna jalan raya lakukan kesalahan, polis tidak akan tahan mereka tetapi tindakan susulan akan dikenakan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan memuat naik gambar atau video kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya di laman media sosial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebagai pengajaran kepada pengguna yang lain.

-- BERNAMA