MELAKA: Lawatan dua hari seorang pemimpin kanan China ke Melaka pada hujung Mei ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan ke negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Tanpa mendedahkan nama pemimpin berkenaan, Ab Rauf berkata beliau akan menggunakan peluang tersebut sebaik-sebaiknya bagi menunjukkan Melaka tempat terbaik untuk pelabur China terus melabur di negeri itu.

"Kehadiran pemimpin kanan berkenaan dijangka akan menggalakkan lagi pelabur China untuk melabur di Melaka. Saya akan tunjuk Melaka negeri berpotensi untuk meningkatkan pelaburan," katanya selepas menerima kunjungan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing di Seri Negeri di sini semalam.

Mengenai pertemuan kira-kira 30 minit itu, Ab Rauf berkata Ouyang memaklumkan Melaka dan China mempunyai sejarah perdagangan lebih 600 tahun, justeru negeri tersebut sering meniti di bibir pedagang dari negara Tembok Besar itu sejak sekian lama.

Beliau berkata ia sekali gus menjadikan Melaka sebagai destinasi utama pelabur dari China di Asia Tenggara dan kerajaan negeri akan mengambil kesempatan untuk menjadikannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya sebelum ini terdapat beberapa pelabur dari negara itu menyatakan minat untuk melabur dalam bidang teknologi tinggi, pemasangan kereta elektrik, pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berat.

-- BERNAMA