Malaysia tegas dengan pendirian supaya sebarang perbincangan berkenaan pertikaian Laut China Selatan perlu dilakukan secara berkumpulan oleh 10 negara anggota ASEAN.

Pandangan itu dikemukakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah lantaran wujud usaha beberapa negara yang mahu berbincang dengan China secara berasingan.

“Dalam perkembangan keselamatan, dijangka isu tentang kedudukan China dalam (tuntutan) Laut China Selatan akan dibincangkan.

“Pendirian kita ialah supaya semua rundingan dengan China khususnya dalam konteks Kod Tatalaku (COC) yang akan mula dibahaskan pada akhir tahun ini, haruslah dibuat secara ASEAN berkumpulan dengan China.

“Kita (Malaysia) akan menekankan hal ini kerana ada juga usaha-usaha satu dua negara ASEAN yang hendak berbincang secara berasingan,” katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini tegas dengan pendirian supaya penyelesaian secara damai diambil dan mengekalkan Asia Tenggara sebagai zon bebas konflik bersenjata.

Malah, Malaysia juga mahu Laut China Selatan dan Selat Melaka kekal sebagai kawasan penting aktiviti perdagangan serantau dan global.