KUALA LUMPUR: Laungan ‘Hidup Gaza’ dan ‘Free, Free Palestine' bergema di Axiata Arena, di sini malam ini sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin.

Ribuan masyarakat berbilang bangsa dan agama hadir bagi menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan penindasan rejim Israel. 

Orang ramai dilihat mula memasuki Axiata Arena seawal jam 6.30 petang, dengan pengawal keselamatan turut melakukan pemeriksaan ke atas mereka.

Kebanyakan memakai baju putih, lengkap dengan mafla dan mengibar bendera Palestin, berkumpul di bawah satu bumbung demi satu misi, iaitu mendesak agar Israel menghentikan segera serangan ke atas Palestin.

LAPOR LANGSUNG PERANG ISRAEL-PALESTIN DI SINI 


Perhimpunan Malaysia bersama Palestin


Himpunan Malaysia Bersama Palestin dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlangsung sehingga jam 11 malam ini.

Selain orang awam, ia turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan negara, pemimpin politik dan jemputan khas, dengan dianggarkan seramai 20 wakil NGO akan menyampaikan ucapan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampai Pidato Kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin sekitar pukul 9.40 malam ini.

Sehingga kini, dianggarkan 4,651 penduduk di Semenanjung Gaza terkorban, manakala lebih 13,000 cedera susulan serangan Israel.