Ringkasan AI
- Sebanyak 18 laluan akan ditutup dan dilencongkan bermula 12 tengah malam Sabtu sehingga acara selesai untuk melancarkan perjalanan program.
- Lebih 200 anggota polis akan ditempatkan untuk kawalan keselamatan dan aliran trafik, dengan nasihat kepada orang ramai untuk menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan.
- Sebanyak 17 lokasi parkir disediakan untuk orang ramai, termasuk di sekolah, stesen bas, dan pejabat daerah.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata penutupan itu akan dilaksanakan bermula 12 tengah malam Sabtu sehingga program berkenaan selesai.
Beliau berkata 10 jalan utama akan ditutup manakala lapan jalan lagi akan dilencongkan bagi melancarkan perjalanan program dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut berkenan berangkat ke majlis itu.
"Larian akan bermula di Dataran Pavilion Kuala Kangsar dan tiga laluan ditutup pada 12 tengah malam iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Kolej Melayu dan Persiaran Bendahara manakala tujuh laluan lagi ditutup pada 6.30 pagi iaitu Jalan Raja Idris, Daeng Selili, Raja Chulan, Sultan Nazrin Shah (Jalan Taiping), Bukit Chandan, Kangsar dan Jalan Bendahara.
"Kenderaan yang melalui Jalan Ipoh-Butterworth arah Sungai Siput akan dilencongkan ke Jalan Kuala Kangsar Jamuan Kati termasuk kenderaan yang datang dari arah Taiping (guna jalan sama), manakala Jalan Manong-Kuala Kangsar (Jalan Sultan Iskandar Shah) dari Manong ke Kuala Kangsar akan dilencongkan ke Jalan Dato Sagor," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Heisham berkata laluan lain yang terlibat ialah di Jalan Bukit Chandan dari arah Istana menuju Bulatan Menara Jam akan mengikut Jalan Bukit Kerajaan dan kenderaan dari Jalan Bukit Kerajaan dari Chandan Puteri menuju bulatan sama turut akan dilencongkan ke Taman Chempaka Sari.
"Polis akan turut melencongkan kenderaan yang melalui Jalan Sayong Tanjung Belanja dari Tanjung Belanja menuju Kuala Kangsar perlu melalui Jambatan Manong secara tapisan kenderaan.
"Penutupan laluan secara berperingkat di kedua-dua arah Jalan Raja Idris bermula 6.45 pagi (Ahad) dan lencongan kenderaan berat turut dilakukan di Jalan Ipoh-Butterworth dan Jalan Sayong Tanjung Belanja oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata pihak polis menasihati orang ramai supaya menggunakan laluan lain sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.
"Kita turut akan menempatkan lebih 200 anggota bagi tujuan kawalan keselamatan dan aliran trafik yang dijangka bakal menarik lebih 20,000 pengunjung dengan penyertaan 12,000 peserta.
"Pengguna yang hendak melalui jalan-jalan berkenaan juga dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memberi kerjasama bagi mengelak sebarang kesulitan selain memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan itu," katanya.
Orang ramai juga dinasihati menggunakan 17 parkir kenderaan yang disediakan iaitu kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Stesen Bas Kuala Kangsar, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Jalan Raja Idris, Bendahara, Raja Chulan dan Jalan Taiping, Dewan Jubli, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Agama Kuala Kangsar, Masjid Ridzwaniah dan Kelab Idris termasuk kawasan Kolam Renang dan Bukit Kerajaan.
-- BERNAMA