KOTA BHARU: Pencabulan di perairan negara bukan isu baharu, sebaliknya setiap hari, puluhan bot dari negara jiran sama ada dari Thailand, Vietnam dan China terus rakus mengaut sumber negara di perairan Laut China Selatan.

Kehadiran mereka menyebabkan nelayan tempatan menderita kerana hasil yang akan diperolehi mereka semakin hari semakin berkurangan.

Bukan tiada tangkapan dalam isu ini, tetapi ada juga yang dilepaskan selepas dihulurkan imbuhan.

Daripada berpuluh yang dilihat serta dipantau, satu berjaya ditahan dan ketika usaha mengejar bot berkenaan, satu bungkusan berisi duit dibuang ke laut.

Strategi ini dikatakan sudah lama diamalkan untuk menyogok penguat kuasa yang korup.

Insiden itu berlaku di perairan Kelantan yang memang menjadi tumpuan bagi nelayan asing terutamanya dari Vietnam dan Thailand.

Bukan semua, tetapi ada segelintir yang mengambil kesempatan untuk mencari duit lebih.

Gamat, sotong dan spesies ikan berharga dikaut sehingga dipercayai merosakkan ekosistem lautan.

Untuk satu bot, antara RM2,000 sehingga RM3,000 "duit terapung" akan dicampak. Hitung sendiri andai puluhan bot asing melakukan perkara sama.

“Jadi buat masa ini rasa cukup mudah, pendapat saya, mereka mudah sekali masuk dan penguatkuasa juga tidak cekap. Pada pendapat saya, semua ini ada udang di sebalik batu. Mereka ada memberi rasuah kepada penguatkuasa kita.


Laporan Khas | Rasuah Terapung Di Tengah Laut

“Biasanya, mereka ambil gamat, selepas itu lain-lain juga. Mereka memang bagi, tetapi tidak ada jumpa lagi, cara mereka dengan alat canggih.

“Kita tengok, tidak lari, resah dan tidak takut,” kata nelayan yang hanya mahu dikenali dengan nama Pak Din.

Tambahnya, mereka tidak boleh lari dari suasana begitu yang turut mengakui pernah melihat bungkusan plastik berisi wang di tengah lautan.

“Mudah hendak tengok bagi duitlah, penguatkuasa ambil duit itu. Kalau sudah diberi duit maknanya mereka (penguatkuasa) akan senyap, selepas itu mereka (nelayan asing) akan datang lagi esok.

"Hasil kita banyak diambil menggunakan bot canggih. Tidak padan kalau mereka datang jika hasilnya sedikit, laut kita jauh juga dengan Vietnam,” jelasnya.

Derita hasil perbuatan itu terpaksa ditanggung nelayan tempatan.

Seperti menumpang di bumi sendiri, hasil diperoleh makin kurang malah ikan di pasar-pasar basah di Kelantan terpaksa diimport dari Thailand dan Vietnam.

Tambah Pak Din, bot pukat tunda mereka mengaut hasil dan merosakkan lokasi ikan sekali gus menyebabkan banyak kerugian.

“Memang itulah akan terjadi selagi mereka menerima rasuah," ujarnya.



Sementara itu, Muhamad Kadir, 64 tahun, menjadi nelayan pantai sejak 30 tahun lepas turut terkesan dengan keadaan berkenaan.

Tegasnya, kalau dulu hasil lumayan tetapi kini hanya mendapat seekor ketam dan seekor ikan duri selepas tiga jam berada di laut.

“Saya sudah menjadi nelayan lebih kurang 30 tahun, kalau hendak dibandingkan keadaan sekarang, lebih baik dahulu.

“Mereka terang-terang mengambil hasil laut kita, jadi nelayan pun tidak untung selepas tolak modal minyak tidak sampai RM50 sehari,” ujarnya.



Dalam pada itu seorang lagi nelayan, Mohd Rozaidi Mat Ali berkata, hasil lautnya terlalu kurang sekarang.

“Hasil tidak tentu, kadang-kadang banyak, kadang-kadang balik tanpa hasil. Dulu banyak tetapi sebab pukat nelayan asing, hasilnya tidak seperti dahulu.

“Mereka masuk mencuri, habis rosak terumbu karang laut kita, kadang-kadang bot pun rosak dan kos membaikinya akan hanya merugikan,” jelasnya.

Namun, ini realiti kehidupan nelayan di Kelantan hari ini.

Dianggarkan 10,000 penduduk Kelantan adalah nelayan sama ada nelayan pantai atau laut dalam.

Menurut Pengarah Maritim Kelantan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,  Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, sepanjang tahun ini sahaja 11 buah bot asing nelayan Vietnam berjaya ditahan.

“Kita tahu dengan kehadiran bot seperti ini, nilainya kecil tetapi kerosakan sangat besar bila menunda gamat.

“Gamat itu mengambil masa lima tahun untuk kembali hidup kawasan itu. Maritim Kelantan sedaya upaya menjaga perairan kita.

“Kita berjaya menahan 11 bot nelayan Vietnam dan 11 bot tempatan. Empat bot tahun ini dan sebuah tanker yang terlibat dalam penyeludupan rokok,” tegasnya.

Katanya lagi, pukat terlarang yang digunakan nelayan asing mampu memusnahkan habitat hidupan laut dan dengan imbuhan kepada segelintir yang korup, mereka terus bebas mencabul perairan negara.

Tegasnya, hanya kerana segelintir yang sanggup menderhaka kepada rakan dan negara, maruah bangsa tercalar, undang-undang negara dicabul, kedaulatan tanah air tergadai.

Persoalanya kini, sampai bila perbuatan ini boleh dibiarkan, sampai bila pihak berkenaan mahu menutup mata.