Firdaus Aziz yang menjalankan perniagaan itu bersama rakannya Saifful Zharfan Mohd Hamidi, kedua-duanya berusia 33 tahun, berkata idea menu berkenaan tercetus selepas melihat lamb shank atau betis kambing menjadi sohor kini dan sentiasa mempunyai permintaan tinggi daripada orang ramai.
"Saya pula sudah bertahun-tahun menjalankan perniagaan menerusi 'Ayam Percik Along', jadi kali ini saya bersama rakan cuba menghasilkan menu lamb shank percik yang dimakan bersama nasi 'Calcutta'," katanya ketika ditemui Bernama.
Firdaus berkata lamb shank percik memiliki keunikan tersendiri kerana dimasak dengan kaedah berbeza iaitu diperap dengan kuah percik sebelum dimasak sehingga lembut lalu dibakar menggunakan arang selama 15 minit.
Menurut Firdaus, sebanyak 200 ketul lamb shank percik habis dijual pada hari pertama Ramadan menyebabkan mereka melakukan penambahan sehingga terjual sebanyak 250 ketul sehari pada hari kelima.
"Kita tengok di gerai pun orang sudah mula beratur. Pada tahun lepas, sebanyak 100 ekor ayam percik sahaja dijual tetapi sekarang penambahan dibuat kepada 200 ekor ayam sehari dengan 200 ketul lamb shank percik bagi permulaan.
"Kita sasarkan dalam masa sebulan jika semakin ramai, kemungkinan kita akan jual hingga satu tan lamb shank percik dan kemungkinan akan menyertai festival makanan pula bagi memperkenalkan dengan lebih luas lagi menu ini," katanya.
Mengulas mengenai nasi 'Calcutta', Firdaus berkata ia dihasilkan dengan resipi khas daripada seorang kenalan dari India menggunakan minyak sapi yang berkualiti dan sesuai dimakan bersama hidangan betis kambing itu.
Nasi 'Calcutta' dan lamb shank percik katanya, dijual dengan harga RM45 bagi satu set dan keuntungan hanya diperoleh kira-kira 30 peratus kerana dijual dengan harga minimum berikutan ingin menjalankan perniagaan sambil bersedekah pada bulan Ramadan.
Firdaus berkata ayam percik pula dijual dengan harga RM8 seketul, manakala RM13 bagi set bersama nasi 'Calcutta'.
"Selain itu, kita juga menjual bebola udang, bebola sotong, ketam, sosej, kulit ayam, hati dan pedal percik," katanya.
-- BERNAMA