KOTA TINGGI: Kesemua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini digesa untuk melaksanakan penilaian risiko terlebih dahulu, sebelum membenarkan sebarang bentuk aktiviti sosial dianjurkan di dalam universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi memastikan pengisian program dapat ditapis agar tidak mencemarkan imej institusi berkenaan.

Saranan itu dibuat susulan insiden video tular yang memaparkan suasana konsert bercampur pelajar lelaki dan wanita yang didakwa diadakan di dewan sebuah IPTA di Terengganu, baru-baru ini.

“Dalam konteks akhir-akhir ini, oleh kerana ada insiden-insiden yang mungkin mencemarkan sedikit pengisian konsert tetapi saya ada meminta pihak universiti supaya lebih berhati-hati supaya pihak universiti pastikan dalam hendak menganjurkan sesuatu konsert itu perlu ada lakukan penilaian risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Felda Bukit Easter di Kota Tinggi, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, katanya, pihak penganjur juga disaran untuk berbincang dengan bahagian hal ehwal pelajar universiti masing-masing bagi merencanakan program-program yang sesuai mengikut garis panduan yang ditetapkan. 

Dalam pada itu, tambah Khaled, tiada tindakan diambil terhadap IPTA terbabit, namun insiden itu harus dijadikan pengajaran buat semua universiti, sebelum menganjurkan sesuatu acara.