PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) hari ini.


Ringkasan AI
  • Pelancaran Panduan Belanjawanku dan Rangka Kerja RIA: KWSP melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) untuk membantu rakyat Malaysia mengurus perbelanjaan bulanan dan simpanan persaraan.
  • Tiga Tahap Simpanan: Rangka Kerja RIA memperkenalkan tiga tahap simpanan - Simpanan Mencukupi, Simpanan Asas, dan Simpanan Dipertingkat - untuk memastikan ahli KWSP mempunyai simpanan yang mencukupi sepanjang tempoh persaraan mereka.
  • Perluasan dan Kemas Kini Panduan: Panduan Belanjawanku kini meliputi 11 bandar utama di Malaysia dan dikemas kini setiap tahun untuk mencerminkan kos sara hidup semasa, dengan kerjasama Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial (SWRC) di Universiti Malaya.


Panduan dan rangka kerja ini bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemas kini tahap simpanan yang disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Panduan Belanjawanku dan Rangka Kerja RIA adalah asas kepada tujuan KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

"Panduan ini membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah,
sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi," katanya dalam kenyataan media.

KWSP menjelaskan bahawa panduan ini menjadi panduan praktikal bagi isi rumah dan rujukan yang bernilai kepada pembuat dasar

"Panduan Belanjawanku turut menjadi rujukan kepada semakan jumlah Simpanan Asas KWSP dan pembangunan Rangka Kerja RIA baharu, yang dibuat berdasarkan kerangka Simpanan Asas yang diperkenalkan pada 2008", kata KWSP.

KWSP bersama Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial (SWRC) di Universiti Malaya telah membangunkan Panduan Belanjawanku sejak 2019 bagi menganggarkan perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk mencapai standard kehidupan yang wajar.

Pada peringkat awal, panduan ini hanya tertumpu kepada kawasan Lembah Klang, tetapi kini telah diperluaskan meliputi 11 bandar utama lain di Malaysia dan dikemas kini setiap tahun bagi mencerminkan kos sara hidup semasa.

Di samping itu, Rangka Kerja RIA yang bakal dilancarkan pada Januari 2026 juga membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi.

"Pendekatan ini menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan, membantu ahli memahami simpanan yang mereka perlukan untuk menyara diri di usia persaraan," tambah institusi tersebut.

Rangka kerja RIA memperkenalkan kerangka simpanan tiga tahap dengan tahap pertama memberi tumpuan kepada simpanan dan Pendapatan Asas, bertujuan untuk menampung keperluan persaraan asas yang penting, memastikan individu memiliki sumber minimum yang mencukupi untuk kelangsungan hidup.

Seterusnya, bagi tahap kedua, Simpanan dan Pendapatan Mencukupi, memberi fokus kepada mengekalkan taraf hidup yang munasabah sepanjang tempoh persaraan, agar individu dapat mengekalkan gaya hidup yang seimbang dan selesa.

Akhir sekali, tahap ketiga, Simpanan dan Pendapatan Dipertingkat, menyokong pencapaian keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi, dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.

Selain itu, Rangka Kerja RIA memperkenalkan tiga tahap simpanan baharu yang disandarkan pada konsep Pendapatan Persaraan Mencukupi, seperti yang ditentukan dalam Belanjawanku dan disemak dari semasa ke semasa.

Tahap pertama, Simpanan Mencukupi, ditetapkan pada 240 kali ganda Pendapatan Persaraan Mencukupi dan dibundarkan kepada RM10,000 terdekat, dengan jumlah RM650,000.

Tahap kedua, Simpanan Asas, merangkumi 60 peratus daripada jumlah Simpanan Mencukupi, iaitu RM390,000. Sementara itu, tahap ketiga, Simpanan Dipertingkat, menetapkan 200 peratus daripada jumlah Simpanan Mencukupi, bersamaan RM1.3 juta.

Rangka kerja ini direka untuk menyokong pengeluaran bulanan sepanjang 20 tahun, selari dengan purata jangka hayat di Malaysia.

Sebagai contoh, pada umur persaraan, tahap-tahap simpanan ini diterjemahkan kepada pengeluaran bulanan yang berbeza.

Bagi Simpanan Mencukupi (RM650,000), pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 pada tahun pertama, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun ke-20.

Bagi Simpanan Asas (RM390,000), ia menyokong pengeluaran sebanyak RM1,625 pada tahun pertama, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun ke-20.

Sementara itu, Simpanan Dipertingkat kepada RM1.3 juta menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 pada tahun pertama, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun ke-20, memastikan persaraan yang lebih selesa dan berkualiti tinggi.

"Tahap simpanan RIA akan disemak setiap tiga tahun bermula pada 2029 menggunakan data terkini daripada hasil kajian Belanjawanku agar terus relevan dengan peningkatan kos," tambah KWSP.

Setakat Oktober 2024, sekitar 36 peratus ahli KWSP yang aktif formal melepasi tahap Simpanan Asas sedia mengikut umur, disandarkan pada RM240,000 di umur 55.

Walaupun peratusan ini mungkin menerima kesan daripada penanda aras baharu ini dalam jangka sederhana, pelarasan ini penting untuk meletakkan simpanan ahli seiring dengan peningkatan kos sara
hidup dan umur persaraan semasa di Malaysia.