Kuota jemaah haji Malaysia tahun ini kekal pada 22,320 orang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Ismee Ismail memaklumkan ia telah diputuskan kerajaan Arab Saudi pada mesyuarat Menteri Haji dua bulan lalu.

Kuota terbabit bermula sejak 2013 susulan keputusan kerajaan Arab Saudi mengurangkan 20 peratus daripada jumlah 29,700 jemaah sebelum ini.

"Saya yakin mereka (Arab Saudi) membuat keputusan ini berdasarkan perkiraan mereka mengenai pembinaan di Masjidil Haram di Makkah yang masih berjalan selain mengambil kira keselamatan dan keselesaan jemaah haji," kata Ismee.


Mengulas mengenai pembayaran pampasan kepada keluarga jemaah Malaysia yang terkorban dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Ismee berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan kerajaan Arab Saudi.

Insiden pada 11 September tahun lalu itu menyaksikan tujuh jemaah haji Malaysia meninggal dunia.