LANGKAWI: Seramai 29 orang warga Pakistan tidak dibenarkan memasuki negara ini dan diarahkan pulang ketika cuba melintasi kaunter pemeriksaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi Rabu lalu.


Ringkasan AI
  • Seramai 29 warga Pakistan ditolak kemasukan ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana disyaki bukan pelancong tulen.
  • Mereka mendakwa ingin menyertai acara larian di Pulau Tuba, tetapi terdapat keraguan kerana yuran penyertaan dan hadiah yang tidak sepadan dengan perbelanjaan mereka, serta ketiadaan pakaian dan kasut sukan yang sesuai.
  • Pihak Imigresen mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang untuk memastikan keselamatan dan integriti negara, dengan menghantar pulang kesemua individu tersebut.


Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kumpulan terdiri daripada 28 orang lelaki dan seorang wanita berasal dari pedalaman Pakistan, memberi alasan datang untuk menyertai pertandingan larian di Pulau Tuba pada 7 September.

“Hasil pemeriksaan mendapati kumpulan ini membelanjakan hampir RM2,000 (setiap seorang) untuk kos penerbangan dan perbelanjaan lain. Tetapi yang menarik perhatian adalah yuran penyertaan cuma RM45 dan hadiah utamanya hanya RM300.

“Paling mencurigakan, kumpulan ini hanya membawa kurta tanpa pakaian dan kasut sukan yang bersesuaian untuk acara tersebut.

“Mereka juga membeli tiket pulang sehari selepas itu dan ia turut menimbulkan persoalan... mengapa mereka merancang kononnya untuk meninggalkan Malaysia segera selepas acara berlangsung.

"Kebiasaannya kebanyakan peserta yang menyertai sebarang program di pulau ini akan mengambil kesempatan untuk melancong sebelum kembali ke negara masing-masing,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Mohd Ridzzuan berkata, pemeriksaan lanjut dengan penganjur acara Tuba Cross Country Run turut mengesahkan tiada peserta asing lain yang mendaftar selain kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan menolak kemasukan kumpulan ini dilakukan di bawah Seksyen 8(3)(c) kerana disyaki bukan pelancong tulen.

Ujarnya, kesemua 29 warganegara Pakistan ini telah dihantar pulang ke negara asal selepas diberikan notis penolakan masuk.

Jelasnya, keputusan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan integriti acara serta negara.

Tegas Mohd Ridzzuan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kemasukan pelawat yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini dan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).