SEPANG: Seorang penjual karpet, iaitu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang videonya memandu bersama dua adiknya tular baru-baru ini, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Lapor Sinar Harian, lelaki berusia 53 tahun itu didakwa mengabai dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anak itu kepada kecederaan fizikal dengan cara gagal mengawasi anaknya itu sehingga kanak-kanak terbabit memandu kenderaan.

Lelaki warga Pakistan berstatus pemastautin tetap berusia 53 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki, berusia 12 tahun, telah mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkanya kepada kecederaan fizikal.

Dia dituduh gagal mengawasi kanak-kanak tersebut sehingga murid Tahun Enam berkenaan memandu kereta di Jalan Impiana 10, Taman Putra Impiana, Puchong di sini, pada jam 7.30 petang, 28 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta hukuman tambahan iaitu orang yang disabitkan atas kesalahan, perlu menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan berikutan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan serta 4 September ini untuk sebutan kes.

Media sebelum ini melaporkan polis mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong.

Lelaki itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan pada 11.30 malam, 29 Julai lalu.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.

Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan.