Kumpulan kedua sebanyak 100 migran Syria daripada 24 keluarga dari kem pelarian Lembah Bekka, Lubnan akan dibawa masuk ke Malaysia pada 28 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka adalah antara 300 migran Syria dijangka masuk ke negara ini pada tahun ini.

Beliau berkata kumpulan kedua itu dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor dengan menaiki pesawat khas pada pukul 10 pagi.

Beliau berkata lima pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia akan berlepas ke Beirut pada minggu ini untuk melakukan proses tapisan keselamatan dan kesihatan sebelum membawa mereka masuk Malaysia.

"Hanya mereka yang mempunyai rekod bersih akan dibawa masuk. Mereka akan ditempatkan di penempatan sementara di Setia Alam, Shah Alam," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Lubnan di Malaysia, Ali Daher dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Migran Syria di pejabatnya di sini hari ini.

Dengan proses tapisan, Ahmad Zahid berkata hanya kumpulan profesional dan pelajar akan dibawa masuk dengan visa bekerja dan visa pelajar akan dikeluarkan kepada golongan ini.

Beliau berkata migran yang tidak mempunyai pasport antarabangsa tidak diberikan pasport Malaysia tetapi sebaliknya hanya disediakan dokumen perjalanan kecemasan.

Pada tahun lepas, kumpulan pertama lapan individu daripada dua keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang menetap di Malaysia, tiba pada Disember lalu.

Pada Oktober tahun lepas, Malaysia menyatakan komitmen untuk membuka pintu negara ini kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Sementara itu, Ahmad Zahid meminta rakyat dan syarikat Malaysia menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan atau keperluan lain seperti makanan, perabot dan peralatan elektrik kepada migran Syria yang menempat sementara di negara ini.

Dalam pada itu, Tabung Kemanusiaan Migran Syria dilancarkan dengan kerjasama sembilan badan bukan kerajaan (NGO iaitu Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Syria Care Malaysia, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

IMAM Response and Relief Team (IMARET), Muslim Care, Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM), Malaysia Life Line For Syria dan Yayasan Restu.

Gabungan NGO ini akan menguruskan hal ehwal pendidikan, kesihatan dan kebajikan bagi peserta Program Penempatan Sementara Migran Syria.