BARU-BARU ini forum Sosma: Siapa Pengganas dan Potensi Salah Guna Kuasa yang diadakan di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya telah mengundang perbincangan dan perdebatan hangat dalam kalangan cendiakawan dan netizen di seluruh negara.

Polemik tercetus apabila manual operasi atau SOP pihak polis dipersalahkan.

Malah figur seperti Datuk Ayob Khan, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism atau dikenali sebagai unit E8 Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dipersalahkan.

Komentar oleh netizen melalui platform media sosial menjadi satu fenomena hingga mencetuskan persoalan tentang kesahihan dan keabsahan tindakan oleh pihak PDRM dalam mengatasi ancaman ektremis agama terutamanya terrorisme.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan tangkapan lapan pelajar dan guru yang berlaku di Perlis pada 6 Oktober 2018.

Historikalnya, Maahad Quran Wal Hadith, Bukit Jernih Perlis bukanlah satu-satunya institusi pendidikan yang telah ‘diserbu’ oleh PDRM untuk kes-kes terkait terrorisme.

Maahad Ittibaussunnah, Kuala Perlis Negeri Sembilan dan Luqmanul Hakiem Islamic School, Ulu Tiram Johor juga telah dilakukan serbuan oleh unit E8 PDRM sebelum ini.

Malah beberapa premis persendirian yang mengajar Islam versi radikal seperti di Kedah, Kelantan, Selangor dan Sabah juga telah diserbu oleh pihak PDRM.

Serbuan ini dilakukan hasil daripada maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas atau dikenali sebagai SB.

Semua kerja-kerja ‘under cover’ ini dilakukan dalam masa yang agak lama dan penuh teliti.

Aktiviti penyamaran dan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut juga adalah merupakan antara modus operandi E8.

Risiko kehilangan nyawa dan ancaman keselamatan anggota juga adalah perkara yang sudah menjadi lumrah dalam kerja-kerja pengintipan ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap manusia boleh melakukan kesilapan dengan sengaja mahupun tidak.

Malah untuk bersikap generalisasi dalam penangkapan kelompok radikal dan terroris ini juga bukanlah pilihan sebaiknya.

Sebab itulah, dalam banyak forum seringkali saya bangkitkan tentang isu generalisasi ini dan profesionalisme anggota PDRM dalam menangani ancaman ekstremis agama.

Keupayaan PDRM dalam menangani ancaman terrorisme bukanlah perkara yang harus dipertikaikan. - Gambar fail



Akan tetapi untuk kita sebagai masyarakat awam bersikap generalisasi terhadap anggota PDRM juga adalah tidak adil.

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, prinsip keadilan dalam menegakkan hak individu atau sesuatu entiti itu seharusnya menjadi keutamaan.

Keupayaan pihak E8 dalam menangani ancaman terrorisme ini bukanlah perkara yang harus dipertikaikan.

Seluruh dunia telah mengiktiraf peranan PDRM terutamanya unit E8 dianggap sebaris dengan NaCTSO di United Kingdom, PoliceOne (Amerika Syarikat (AS)), Densus 88 (Indonesia), SOF (Singapurs), CTTC (Bangladesh), CTIS (Hong Kong) dan lain-lain pasukan polis khas yang ditubuhkan untuk menangani ancaman terrorisme dan ekstremisme.

Keupayaan PDRM jelas menidakkan rancangan pengeboman dan serangan ganas oleh kumpulan ektremisme ini.

Saya mengambil pendekatan untuk kita memahami apa yang diperjuangkan oleh anggota keselamatan untuk keamanan negara dan keharmonian masyarakat.
Mereka yang tidak faham atau tidak mahu faham tentang tanggungjawab PDRM khususnya peranan E8 adalah mengecewakan.

Tanpa unit ini, negara Malaysia telah lama menyaksikan tragedi berdarah yang mengorbankan banyak nyawa samaada Muslim mahupun bukan.

Ramai mungkin tidak tahu bahawa negara kita telah merekodkan siri-siri serangan yang berskala kecil seperti letupan bom di Dataran Keris Bandar Diraja Kelang, letupan bom di tandas kilang Carlsberg Shah Alam dan rompakan bersenjata untuk dana Jemaah Islamiyyah (JI) di Petaling Jaya.

Tidak ketinggalan penyediaan bom paip dan bom tupperware, pemilikan 10 grenade, pistol dan senapang di Puchong dan Kelang serta Sabah dan yang terbaharu serangan bom di kelab malam Moovida, Puchong Selangor.

Malah beberapa rancangan besar mengebom Tambak Johor, menyerang Perdana Menteri dan Presiden AS, Barack Obama serta banyak lagi berjaya dipatahkan hasil daripada risikan dan kemampuan operasi ‘penccegahan’ oleh PDRM.

Harus diakui bahawa Malaysia bukanlah tempat yang baik dan selamat bagi puak terroris.

Maka natijahnya mereka berhijrah ke negara jiran yang mempunyai banyak ruang dan peluang untuk melaksanakan agenda ‘jihad al-kital’ dan ‘jihad takfiri’ oleh ekstremis agama ini.

Malah disebabkan itu jugalah nama-nama besar yang mana tawaran wang mencecah AS$5 juta (RM20 juta) ditawarkan ke atas kepala rakyat Malaysia di Filipina, Thailand dan Indonesia.

Figura seperti Dr Azhari Husin, Nordin Mat Top, Zulkifli Khir, Nasir Abas, Dr Mahmud Ahmad, Najieb Husin, Amin Bacho, Umar Patek dan ramai lagi adalah pemain penting di rantau ini.

Mereka lari ke negara lain dan menjadi sangat signifikan dalam perjuangan terrorisme hingga diangkat menjadi pemimpin utama mereka.

Persoalannya ialah mengapa mereka tidak lakukannya di Malaysia?

Ini adalah kerana kemampuan PDRM dan unit E8 khususnya dalam mengekang dan menghalang mereka dari berkembang.

Setiap tangkapan selalunya berlegar diatas tiga perkara utama, iaitu berkaitan kandungan pengajaran dan dakyah yang disebarkan, hubungan atau rangkaian mereka dengan individu atau institusi tertentu dan aliran kewangan yang dilakukan kumpulan ini.

Dalam kes tangkapan di Perlis baru-baru ini, ketiga-tiga elemen ini dengan jelas dimiliki oleh kumpulan ini dan diperjuangkan oleh pelajar-pelajar tersebut.

Malah ada beberapa keadaan yang melibatkan transaksi pindahan wang cara ‘hawala’ juga berlaku.

Berselindung dengan perniagaan tertentu tetapi membenarkan aliran wang yang disangsikan juga adalah antara elemen penting yang harus difahami.

Pertemuan dengan individu atau kumpulan tertentu yang telah diberi level ‘merah’ oleh polis antarabangsa (Interpol) juga adalah aspek penting.

Kandungan silibus yang menolak demokrasi, pelawaan untuk melaksanakan ‘jihad al-kital’ dan amalan Islam ektrem dan sempit juga adalah antara elemen yang perlu difahami.

Jika melihat aspek tangkapan ini daripada satu sudut sahaja, maka rasa tidak adil akan timbul, tetapi jika memahaminya secara holistik maka kita akan dapat melihat aspek yang lebih jelas mengapa tangkapan dan serbuan dilakukan oleh pihak PDRM, bukan sahaja di Perlis malah boleh berlaku dimana-mana institusi dan di pelosok negara ini.

Pengalaman saya dalam siri-siri seminar, forum dan bengkel di luar negara, jelas pihak luar amat mengagumi keupayaan PDRM dalam menyekat ideologi ekstrem dari berkembang dan meragut keamanan negara ini.

Malah undang-undang pencegahan seperti SOSMA, POTA dan POCA adalah elemen penting dalam mengawal masyarakat dari terjebak dalam kegiatan ekstremis.

Dahulunya ISA memainkan peranan penting hingga elemen-elemen subversif sejak dari ancaman komunis hinggalah terroris berjaya dikawal dengan baik.

Tidak dinafikan bahawa kemungkinan undang-undang ini disalahguna demi kepentingan politik adalah merupakan perkara yang subjektif.

Maka sebab itulah ‘check & balance’ antara kerajaan yang memerintah dan pembangkang harus jelas dan matang, bukannya atas dasar kepentingan dan dendam serta kebencian semata-mata.

Kerajaan AS yang sebelum ini menyelar ISA yang dianggap sebagai undang-undang drakonian, akan tetapi kemudiannya menyokong tindakan kerajaan memperkenalkan undang-undang pencegahan terutamanya apabila Patriot Act diperkenalkan oleh Presiden Bush pada Oktober 2001 setelah diluluskan Kongres Amerika.

Hingga ke saat ini, sekurang-kurangnya 620 tangkapan berkait terrorisme telah dilakukan oleh PDRM sejak tahun 2013 hingga 2018, majoritinya telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman di bawah SOSMA.

Tidak kurang 80 individu warga asing telah dideportasi ke negara asal atau negara ketiga.

Juga terdapat individu yang ditahan di bawah POTA dan POCA. Pihak-pihak yang menempelak PDRM harus jelas dan faham, SOSMA bukan dikuatkuasakan oleh polis, ia adalah bidang kuasa mahkamah.

Malah SOSMA adalah satu bentuk undang-undang yang jauh lebih baik berbanding ISA.

Mana-mana individu yang ditahan di bawah SOSMA perlu dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 24 jam.

Tahanan SOSMA akan dijatuhkan hukuman selepas melalui perbicaraan manakala ISA boleh menahan mana-mana individu hingga 60 hari tanpa bicara.

Maka dengan ini kita harus faham bahawa SOSMA bukannya masalah, yang bermasalah adalah pegawai yang melakukan salahguna kuasa SOSMA dan mereka inilah yang perlu dihukum.

Pihak polis yang menjalankan fungsi penting untuk mejaga keamanan dan keselamatan negara haruslah dipertahankan. Tidak perlu takut jika tidak melakukan kesalahan.

Mana-mana kecurigaan yang timbul haruslah dilaporkan kepada pihak polis dan melihat sesuatu secara syumul atau total adalah kunci memahami isu berkaitan peranan PDRM dalam mengekang ekstremisme dan terrorisme yang merupakan ancaman baru kepada negara Malaysia ini.

Malah perlu diingat, ekstremis dan terroris ini bukan hanya isu bagi penganut Islam semata-mata, ianya adalah isu merentasi agama, budaya, politik dan negara.



* Artikel oleh Dr Mohd Mizan Aslam, Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation.

** Artikel ini adalah dari pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.