RANTAU PANJANG: Kuih kuba guling yang pernah terkenal sekitar tahun 2016, kembali dicari peminatnya selepas sepi hampir tiga tahun akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kuih yang namanya bermaksud 'kerbau berguling' dalam dialek Kelantan ini, atau nama lainnya koleh hitam, kini mendapat tempat semula di bazar Ramadan seluruh Kelantan.

Jika sepanjang dua tahun lalu pengedaran kuih ini terhalang kerana larangan rentas daerah, tahun ini kuba guling boleh didapati di hampir semua bazar, termasuk di luar Kelantan.

Kuih buatan legasi Wan Ali dari Rantau Panjang ini mempunyai rasa berlainan dari juadah tempatan lain, dengan resipi gabungan selatan Thailand.

Menurut peniaga asalnya, Wan Arif Wan Ali, 40 tahun, kuih tradisional itu berasal dari Thailand tetapi melalui pengubahsuaian resipi yang diadun arwah ayahnya.

"Saya lihat 'trend' pembeli dan permintaan, ia masih sama seperti dulu. Malah, jualan 100 talam habis dalam masa dua jam sahaja," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui baru-baru ini.



Menurutnya, selepas tular di media sosial beberapa tahun lalu, kuba guling diusahakan bersama adik- beradiknya dengan membuka empat cawangan - masing masing dua di Rantau Panjang, satu di Kota Bharu dan satu di Kuantan, Pahang.

"Kami menggunakan resipi asal daripada arwah ayah seperti yang diusahakannya sejak 32 tahun lalu, dan lakukan penambahbaikan, supaya rasanya lebih lembut, berlemak dan tidak jemu untuk dinikmati," katanya

Kuih kuba guling dibuat menggunakan bahan-bahan seperti tepung beras, gula, tepung jagung, kapur, beras pulut dan santan.



Katanya, warna kuih yang kehitaman pekat itu tidak menggunakan pewarna yang dijual. Sebaliknya, ia dihasilkan menggunakan air dari tempurung kelapa yang dibakar.

"Istimewa kuba guling ialah, tekstur dan warna hitam pekat asli dari air tapisan tempurung kelapa yang dibakar, iaitu tempurung bersih," tambahnya.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK 



Wan Arif mengakui, ramai juga pembeli dari luar Rantau Panjang yang sanggup datang ke daerah itu semata-mata untuk mencari kuih kuba guling yang asli.

Harga sehiris kuih kuba guling ialah RM1.

Kuih kuba guling warisannya menggunakan parutan kelapa yang tidak terlalu tua.




Mengulas mengenai perancangan masa depan, Wan Arif berkata, dia masih memikirkan cara untuk mengembangkan penjualan kuih tersebut ke seluruh negara selepas ini.

"Ramai yang meminta supaya dikembangkan ke seluruh negara. Jadi, saya juga mahu mengembangkan penjualannya dengan lebih meluas lagi.

"Cuma, sekarang ini, saya masih mencari formula supaya kuih ini dapat bertahan dengan lebih lama, tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet," katanya.