Malaysia sedang melalui proses kematangan demokrasi oleh kerana perubahan landskap politik negara yang sebelum ini dikuasai oleh satu parti yang berpengaruh. Namun dengan adanya pihak pembangkang yang semakin kuat, proses perundingan bakal memainkan peranan yang penting, sekaligus mewujudkan proses menang-menang, atau win-win, bagi semua pihak.

Mengambil contoh krisis politik Terengganu, Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata proses perundingan di dalam parti dan juga di antara parti politik lain bagi membentuk kerajaan yang utuh.

“Kalau dulu kita ada parti yang sangat perpengaruh sehingga mempengaruhi segala-galanya. Sekarang ini ada proses periksa dan imbang (check and balance). Dalam kes Terengganu, perlukah kita lihat ia dari sudut yang menang ambil segala-galanya atau dari aspek win-win dengan cara perundingan?" tanya Dr Shaharuddin.


Bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu (2004-2008) Datuk Rosol Wahid berkata keadaan politik di Terengganu juga adalah masalah dalaman UMNO dan tidak sepatutnya berlaku kerana parti itu baru memenangi pilihan raya yang diadakan pada tahun 2013 walaupun dengan majoriti yang sedikit.

“Ini adalah hal keluarga dan wajar untuk kita selesaikannya secara keluarga kerana apa yang penting bagi kita ialah rakyat dan rakyat akan menilai apa yang berlaku dan apa yang terjadi.“


Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Prof Madya Dr Nidzammudin Sulaiman pula berkata terdapat beberapa kelompok di dalam parti yang bersaing di antara satu sama lain.

“Wujud persaingan dalaman di dalam parti politik. Dalam konteks politik Terengganu, sejak dari dulu lagi wujud kem-kem dan kelompok-kelompok yang berbeza dan bersaing bersama-sama untuk mendapat pengaruh yang banyak di dalam negeri. Pemimpin pusat dan ada yang mengatakan bahawa pemimpin istana negeri mempunyai kecenderungan terhadap pemimpin-pemimpin tertentu.


Terengganu menjadi tumpuan selepas Datuk Seri Ahmad Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN Kijal), meletak jawatan sebagai Menteri Besar disusuli majlis angkat sumpah ADUN Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar yang baharu pada Isnin.

Susulan perkembangan itu, Ahmad, ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan keluardari UMNO dan menjadi wakil Bebas.

Bagaimanapun, Roslee menarik kembali surat keluar daripada UMNO pada petang Selasa dan kembali menjadi wakil rakyat BN menjadikan BN kini memegang 16 kerusi termasuk kerusi Speaker manakala PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2).