Walaupun pelan catuan air di beberapa kawasan Lembah Klang dapat memberi bekalan air kepada penduduk tempatan, namun ia sedikit sebanyak menguji tenaga dan tahap kesabaran kaum wanita.

Ini kerana lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) selalu tiba pada waktu pagi, tengahari dan petang. Ini juga waktu para suami ke tempat kerja. Jadi isteri dan anak-anak yang harus mengisi air untuk keperluan harian.

Astro AWANI membuat tinjauan di Pangsapuri Puncak Baiduri, Cheras dan menemuramah beberapa suri rumah.

Seorang suri rumah sepenuh masa Norzimi Shaharin, 30, berkata pihak SYABAS akan ke kawasan perumahan mereka tiga ke empat kali sehari. Pada setiap masa, beliau akan mengisi air sebanyak lima baldi penuh. Oleh kerana suami beliau bekerja, Norzimi sendiri terpaksa turun untuk mendapatkan bekalan air.

Norzimi
Norzimi sendiri yang akan turun untun mengisi lima baldi

"Bila waktu SYABAS datang, suami semua akan pergi kerja. Yang tinggal hanyalah suri rumah dan makcik-makcik. Jadi kamilah yang kena isi air. Kami juga mengejar masa kerana anak-anak akan ke sekolah. Nak masak lagi. Susah juga hendak keluar jikalau SYABAS datang tidak menentu. Kini kami terpaksa stand-by," kata seorang suri rumah Norzimi Shaharin, 30.

Oleh kerana jadual yang tidak menentu, Norzimi berharap pihak SYABAS dapat memberi jadual yang tetap.

"Mereka kata akan datang pada jam 10 pagi, 12 tengahari dan 6 petang tapi kadang-kadang mereka dah mula datang jam 9 pagi. Kadang-kadang mereka datang lambat sedikit. Jadi ia menjejaskan rutin harian kami."

Norzimi turut berkata bahawa pihak SYABAS juga ada datang selepas jam 12 tengah malam. Ada kalanya mereka akan mengisi semula tong yang kosong namun ada juga pihak mereka suruh penduduk untuk mengambil air dari lori.

"Kadang-kadang kita sudah letih dah! Siapa yang rajin, mereka akan turun," tambah beliau.

Cadangan ini juga disokong oleh Rosemary Phang, 58.

"Biar setiap blok dilengkapi dengan jadual yang tetap jadi kita tidak perlu menunggu," kata Rosemary.
Rosemary juga mengalami kecederaan di bahu jadi beliau bergantung kepada anak lelaki beliau untuk mengambil air.

"Tetapi jikalau beliau bekerja, saya terpaksa turun atau meminta saudara membantu mengambil air," jelas beliau.

Seorang lagi warga emas Izadiah Che Dah, 65, juga mengadu keletihan. Beliau sebenarnya menetap di Seremban namun tinggal di Cheras bersama anak beliau oleh kerana krisis air ini.

Izadiah
Izadiah akui penat kerana harus turun untuk mengisi air

"Dia kerja jadi saya terpaksa datang sini dan tolong beliau. Kalau tidak macamana hendak suruh dia isi air.

"Saya akui penat jugak. Setiap kali turun, saya akan mengisi lima baldi. Nasib baik ada troli. Namun lima baldi ini pun tidak cukup untuk keperluan harian seperti memasak, mandi dan membasuh baju," katanya.

Hikmah

Namun hikmah disebalik situasi ini membuatkan penduduk tempatan lebih akrab diantara satu sama lain.

"Dulu jarang jumpa sebab kerap berada di dalam rumah. Bila sudah berada di dalam situasi ini, barulah dapat berkenalan. Bila beratur tunggu giliran, barulah kita dapat berborak bersama," kata Norzimi.

Norzimi akui ada ketika bila ada pergaduhan, namun secara kesuluruhannya, semua begitu baik.

"Kalau lelaki dengan lelaki, mungkin boleh sampai bertumbuk. Tetapi kalau lelaki dan perempuan, itu tidak akan berlaku. Tapi ini semua kerana isu beratur dan tunggu giliran. Tetapi kami okay," tambah beliau.

Rosemary pula puji dengan semangat muhibbah dikalangan penduduk tempatan.

"Bila lori SYABAS tiba, pengawal keselamatan, pihak Syabas atau jiran-jiran akan menjerit 'Air! Air'. Ia begitu muhibbah kerana kami mempunyai penduduk pelbagai kaum," akhiri beliau.